Selamat tinggal Birmingham, kita jumpa di Victoria

Pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib bersama penerjun negara, Gilbert gabriel daim membawa Jalur Gemilang bagi kontinjen Malaysia pada Majlis Penutupan Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander pada Isnin. - Foto Bernama
Pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib bersama penerjun negara, Gilbert gabriel daim membawa Jalur Gemilang bagi kontinjen Malaysia pada Majlis Penutupan Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

BERAKHIR sudah perjuangan lebih 5,000 atlet dari 72 negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang telah melabuhkan tirai secara rasmi dalam acara gemilang di Stadium Alexander, Perry Barr di sini malam tadi.

Selain pertunjukan cahaya dan bunga api yang menakjubkan menerangi langit, para penonton turut dihidangkan dengan persembahan daripada artis tempatan West Midlands termasuk Beverly Knight, Jaykae dan Goldie dari Wolverhampton yang mempersembahkan alunan muzik generasi lama, masa ini dan masa depan.

Tidak lupa, ia turut disajikan dengan penampilan istimewa Dexys Midnight Runners dengan persembahan lagu Come On Eileen yang pernah mengungguli carta United Kingdom serta Amerika Syarikat pada 1982.

Majlis itu turut memberi penghormatan kepada Peaky Blinders - geng jalanan berpangkalan di Birmingham - yang mempersembahkan babak dalam pementasan teater tarian Peaky Blinders: The Redemption of Thomas Shelby.

Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Dame Louise Marin dalam ucapannya menyifatkan Birmingham 2022 sebagai ‘berani, menguja dan cemerlang’ dan memberikan pujian kepada semua atlet yang menyahut cabaran mempamerkan aksi menakjubkan sepanjang tempoh 11 hari temasya itu berlangsung.

Martin kemudiannya menyampaikan Anugerah David Dixon kepada atlet cemerlang temasya iaitu atlet ping pong Singapura Feng Tianwei, yang membantu pasukannya menyapu bersih pingat emas acara berpasukan, perseorangan dan juga beregu wanita.

Diiringi persembahan penyanyi kelahiran Nigeria Jacob Banks, bendera Komanwel yang menjadi lambang persahabatan dinaikkan ketika upacara pembukaan pada 28 Julai lepas, diturunkan sekali gus menandakan tamatlah sudah edisi Birmingham 2022.

Bendera keramat itu bertukar tangan dan diserahkan kepada Gabenor Victoria Linda Dessau, iaitu tuan rumah edisi berikutnya berlangsung pada Mac 2026 dengan menyaksikan penganjuran kali pertama Sukan Komanwel di pelbagai bandar di Geelong, Ballarat, Bendigo dan Gippsland.

Persembahan diteruskan dengan segmen budaya daripada orang asli di Victoria sebelum Earl of Wessex Putera Edward mengisytiharkan Birmingham 2022 ditutup.

Di penghujung acara, Prince of Darkness yang juga bintang rock legenda dari Birmingham, Ozzy Osbourne membuat kejutan apabila muncul dengan persembahan lagu Paranoid sebagai menutup majlis gilang gemilang di Birmingham.

Terima kasih Birmingham, kita jumpa di Victoria 2026. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!