Seorang maut, 125 cedera kebakaran fasiliti penyimpan minyak
MATANZAS - Sekurang-kurangnya seorang disahkan maut, manakala 125 lagi cedera dalam kebakaran di kemudahan penyimpan minyak di barat Cuba pada Isnin.
Puluhan anggota bomba turut dilaporkan hilang sejak kilat menyambar salah satu daripada lapan tangki kemudahan itu Jumaat lepas.
Setakat ini, anggota bomba menghadapi cabaran susulan api merebak ke tangki ketiga dalam kebakaran besar itu. Api telah merebak ke tangki kedua pada Sabtu lalu dengan mencetuskan beberapa siri letupan.
Anggota bomba telah menyembur air pada baki tangki yang tinggal sejak hujung minggu untuk menyejukkan ia dan cuba menghentikan api daripada merebak.
Kerajaan Mexico dan Venezuela telah menghantar pasukan khas untuk membantu memadamkan kebakaran menggunakan meriam air, pesawat dan helikopter.
Pakar pembinaan ketenteraan mendirikan penghadang untuk membendung tumpahan minyak.
Pegawai tempatan memberi amaran kepada penduduk supaya menggunakan pelitup muka memandangkan asap berkepul-kepul menyelubungi wilayah itu yang boleh dilihat dari ibu kota Havana.
Pegawai telah memberi amaran bahawa asap itu mengandungi sulfur dioksida, nitrogen oksida, karbon monoksida dan bahan beracun lain. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!