Skandal penyelewengan LCS akan tumbangkan BN dalam PRU15
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Skandal penyelewengan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion akan menjadi 'ribut' yang membadai dan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, skandal terbaharu itu akan memberi kesan yang besar apatah lagi timbul menjelang PRU15 yang desas-desusnya bakal diadakan tidak lama lagi.
"Dalam isu skandal rasuah LCS ini, mereka yang patut bertanggungjawab ialah pemimpin besar UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Isu skandal kapal tempur LCS yang terdedah sekarang akan mengundang ribut untuk meruntuh dan menumbangkan sekali lagi UMNO-BN dalam PRU yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.
Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
Hassan berkata, isu skandal itu mengakibatkan kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional (PN) kini berdepan kemunculan satu lagi skandal rasuah, pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram.
Perkembangan itu katanya, amat mengejutkan kerana wang rakyat RM6.083 bilion telah dibayar bagi kontrak RM9 bilion untuk mendapatkan lima buah kapal LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 2011, namun sehingga sekarang sebuah kapal LCS pun tidak sampai.
Beliau percaya skandal tersebut akan menjadi satu lagi 'gelombang baharu' yang akan memusnahkan BN sepertimana isu-isu nasional yang melanda sebelum ini dalam PRU13 dan PRU14.
Katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada PRU13 sekitar 2013 negara didedahkan dengan Skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan RM250 juta.
"Projek Kerajaan untuk ladang ternakan lembu gagal. Duit salah digunakan untuk membeli kondo mewah. Akibatnya rakyat marah. Natijahnya UMNO-BN hilang lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen," katanya.
Katanya, pada PRU14 sekitar 2018 pula negara didedahkan pula dengan isu rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merupakan skandal kleptokasi terbesar dalam sejarah dunia.
"Akibatnya rakyat marah sekali lagi. Natijahnya bukan saja UMNO-BN kalah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Sabah tetapi juga kalah di peringkat kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan menjadi pembangkang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!