Klopp resah kecederaan pemain
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp resah dengan masalah kecederaan dialami beberapa pemain The Reds yang disifatkannya memberikan kesan terhadap persiapan The Reds bagi mengharungi beberapa aksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam masa terdekat.
Menurut Klopp, masalah kecederaan itu bakal menyaksikannya terlepas aksi berdepan Crystal Palace, Manchester United, Bournemouth, Newcastle United selain pertembungan derby dengan Everton di Goodison Park pada 3 September depan.
Malah, selain Alcantara, Klopp turut mengakui ‘pening kepala’ dengan masalah kecederaan beberapa pemain melibatkan, Thiago Alcantara Curtis Jones, Ibrahima Konate, Diogo Jota, Caoimhin Kelleher, Alex Oxlade-Chamberlian dan pemain baharu, Calvin Ramsay.
“Bagi saya, berita kecederaan Thiago (Alcantara) ini bukan sesuatu yang baik untuk kita. Saya sendiri tidak sukakan berita ini tetapi inilah bola sepak di mana sukar untuk kita meramal kecederaan yang berlaku.
“Bagaimanapun keadaan kini semakin sukar buat kita apabila ada beberapa lagi pemain yang didapati mengalami masalah kecederaan dan hampir pasti tidak dapat diturunkan.
“Apa pun yang penting ketika ini adalah pemain-pemain tidak perlu panik dan perlu terus melakukan persiapan seperti biasa dengan menjalani latihan yang diadakan menjelang perlawanan-perlawanan berkenaan,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Fulham pada aksi sulung EPL minggu lalu.
Sementara itu, Klopp berharap agar pemain-pemain seperti Nab Keita, Kostas Tsimikas yang telah pulih daripada kecederaan kembali cergas bagi diturunkan pada aksi berdepan Crystal Palace 16 Ogos ini.
Katanya, sudah tiba masanya The Reds kembali meraih tiga mata berharga setelah sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Fulham, minggu lalu.
“Kita perlu kembali meraih tiga mata setelah hanya seri dengan Fulham. Untuk itu, kita memerlukan pemain-pemain terbaik bagi merealisasikan perkara itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!