[VIDEO] Peniaga letak vape pada mulut bayi direman lima hari
JOHOR BAHRU - Peniaga burger yang dipercayai meletakkan rokok elektronik atau ‘pod’ vape pada mulut bayi perempuan yang tular di media sosial baru-baru ini, direman selama lima hari.
Perintah reman bermula Selasa terhadap suspek berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret, R Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Sebelum itu, suspek yang mengenakan t-shirt berwarna hitam dan seluar jeans tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9 pagi diiringi anggota polis.
Pada Isnin, polis menahan seorang lelaki pada jam 12.45 tengah hari dipercayai meletakkan vape pada mulut bayi perempuan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 2.56 petang, Sabtu lalu.
Beliau berkata, suspek merupakan kenalan kepada adik perempuan pengadu.
"Menurut pengadu kejadian berlaku ketika beliau bersama bayi, adik perempuan serta suspek berada di kedai makan di sekitar Bandar Baru Uda.
"Tiba-tiba suspek dengan niat bergurau meletakkan vape tidak berfungsi pada mulut bayi yang dipangkunya dan kejadian itu dirakam adiknya.
"Rakaman kejadian tersebut kemudian dimuat naik adik pengadu ke laman sosialnya sebelum ia tular dan menerima kecaman masyarakat," katanya.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!