Siasat 'pembesar' terlibat isu LCS secara adil, telus
SHAH ALAM - 'Pembesar' terlibat dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) perlu disiasat secara adil dan telus kerana rakyat terutama anggota tentera berhak mengetahui dalang sebenar skandal rasuah ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, belum selesai isu rasuah pembelian kapal selam Scorpene berjumlah RM500 juta disiasat sepenuhnya, timbul pula skandal rasuah lebih besar melibatkan LCS.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, projek menelan belanja RM9.13 bilion itu untuk membina enam kapal LCS melibatkan tempoh selama 10 tahun iaitu pada 2013 sehingga 2023.
"Kapal LCS ini adalah untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah pasti penting untuk mengawal keselamatan negara di kawasan perairan dan projek ini sangat baik untuk kedaulatan negara tetapi 'dicuri' di tengah-tengah jalan oleh mereka yang tamak dan gila kuasa.
"Sejumlah RM6.083 bilion sudah dibayar tetapi satu kapal pun belum siap, malahan pelancaran kapal pertama (LCS1) pada tahun 2017 akhirnya terbongkar oleh siasatan PAC yang ianya kapal belum siap dan ‘olok-olok’.
"Kebiasaan kontrak adalah bayaran dibuat mengikut tahap kemajuan projek tetapi apabila dibayar awal daripada jadual menunjukkan wujud penyelewengan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Muhammad Faiz berkata, projek itu dianugerahkan secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang berperanan menjaga kebajikan anggota tentera dan tidak sepatutnya diheret ke dalam skandal korupsi terbesar Kementerian Pertahanan ini.
Menurutnya, skandal ini cukup besar dan tidak mungkin syarikat awam seperti BNS berani melakukan apa-apa perbuatan jenayah melainkan dengan restu dan campur tangan 'sang penguasa' ketika itu.
"Siapa pembesar yang terlibat perlu disiasat secara adil dan telus.
"Kenapa perlu ada campurtangan politik dalam isu ketenteraan yang mana seharusnya diserahkan kepada TLDM yang mempunyai kepakaran. Malahan, surat teguran bekas Panglima TLDM ketika itu tidak diendahkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menjelaskan bahawa penghantaran kapal LCS ini masih ada lagi dua tahun sedangkan kontrak sepatutnya tamat tahun hadapan.
"Kelewatan ini menunjukkan projek ini boleh dikategorikan ‘projek sakit’ yang merugikan wang negara malahan, pendedahan penyelewengan oleh PAC ini dilihat sebagai satu perbuatan yang sanggup menggadaikan keselamatan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!