Cemas rumah dilanda puting beliung

Ribut kuat berserta puting beliung berlaku selepas beberapa minit hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Ribut kuat berserta puting beliung berlaku selepas beberapa minit hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
A
A
A

JITRA - Seorang warga emas tidak menyangka bunyi deruman seperti ombak merupakan petanda bumbung rumahnya diterbangkan puting beliung di Kampung Paya, Keriang Menyabung, Mukim Naga di sini, petang semalam.

Manih Chat, 73, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap-siap untuk mandi sebelum mengambil keputusan meninjau di bahagian luar rumahnya setelah mendengar bunyi yang amat kuat kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, sebaik sahaja dia membuka pintu hadapan, tiupan angin yang sangat kencang dengan 'bergulung-gulung' sedang menerpa ke arah rumah.

Anggota APM Kubang Pasu mengumpul maklumat mangsa dan kerosakan yang dihadapi akibat ribut berkenaan.
Anggota APM Kubang Pasu mengumpul maklumat mangsa dan kerosakan yang dihadapi akibat ribut berkenaan.

"Saya hampir-hampir rebah nasib baik dan (sempat) pegang pintu rumah. Masa itu hanya ingat ALLAH saja dan mengucap serta membaca ayat Kursi memohon perlindungan.

"Saya tak pernah lihat tiupan angin sekuat itu. Pada masa sama juga saya ternampak seorang lelaki yang bawa motosikal dalam keadaan melelong kerana ditolak angin kuat," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, beberapa peralatan termasuk perkakas elektrik rosak setelah bumbung tingkat atas rumahnya diterbangkan angin.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Azizan Ani, 64, berkata, ribut kuat berserta puting beliung berlaku selepas beberapa minit hujan lebat melanda kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika kejadian itu, saya terdengar bunyi seperti letupan, setelah keadaan sedikit reda, baru saya keluar periksa.

"Rupanya, bumbung dan sebahagian dinding rumah kayu di tingkat atas sudah tercabut.

Bumbung rumah rosak setelah dilanda ribut kuat dan puting beliung.
Bumbung rumah rosak setelah dilanda ribut kuat dan puting beliung.

"Atap zink berserta kayu palang itu diterbangkan angin sejauh 20 meter dan turut mematahkan sebatang pokok rambai sebesar pemeluk yang berada di bahagian belakang rumah," katanya.

Bagaimanapun, Azizan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu, biarpun terdapat 10 ahli keluarga termasuk lima cucu berada di rumah semasa ribut melanda.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, sebanyak 12 buah rumah melibatkan 38 orang mangsa terjejas akibat kejadian ribut dan puting beliung berkenaan.

Katanya, antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Paya Keriang Menyabung, Kampung Paya Parit Lateh, Kampung Pida 2 Megat Dewa, Kampung Batas Keretapi Megat Dewa dan Kampung Telok Malek.

"Kejadian ini dipercayai berpunca daripada puting beliung yang melanda kawasan-kawasan terbabit petang semalam.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

"Bantuan Pemulihan Bencana akan dipertimbangkan selanjutnya mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!