Inter Milan, Sanchez berpisah cara baik
INTER Milan menamatkan kontrak penyerang Chile, Alexis Sanchez dengan persetujuan bersama, kata kelab Serie A itu.
Laporan media Itali berkata, Sanchez bersedia untuk menyertai kelab Ligue 1 Perancis, Olympique de Marseille secara percuma.
Penyerang sensasi berusia 33 tahun itu membuat 109 penampilan dan menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan selepas menyertai Inter dari Manchester United pada 2019, namun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Simone Inzaghi musim lalu.
"Inter Milan ingin mengucapkan terima kasih kepada Alexis untuk tiga musim terakhir ini.
"Tiga musim yang menyaksikan Nerazzurri memenangi tiga kejuaraan utama, dan kami mendoakan yang terbaik untuk karier masa depannya," kata Inter.
Sanchez merupakan bekas penyerang Barcelona dan Arsenal memiliki 146 penampilan serta 48 gol bersama Chile.
Beliau turut memenangi Scudetto 2020-2021, gelaran liga pertama Inter dalam tempoh 11 tahun dan musim lalu membantu kelab itu memenangi Piala Itali serta Piala Super.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!