Pelaburan Ferrotec tingkat kedudukan KHTP

Ku Abdul Rahman (empat kiri) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Ferrotec di KHTP Kulim pada Selasa.
Ku Abdul Rahman (empat kiri) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Ferrotec di KHTP Kulim pada Selasa.
A
A
A

KULIM - Pelaburan Ferrotec Holdings Corporation berupaya meningkatkan dan menambah kedudukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebagai salah satu destinasi pelaburan terbaik di Malaysia.

Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pendidikan Tinggi Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kilang melibatkan pemasangan produk elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju untuk peralatan semikonduktor itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri dan negara malah membawa manfaat yang besar kepada rakyat.

Menurutnya, Ferrotec dibina di atas kawasan seluas 80,000 kaki persegi itu dijangka mula beroperasi pada September 2023 bakal mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada 800 orang.

"Ia menunjukkan keupayaan Kedah dan Malaysia untuk memenuhi piawaian tinggi industri teknologi tinggi, kedua-duanya dari segi tenaga kerja dan kemahiran yang diperlukan, serta dari perspektif kawal selia.

"Ia juga selaras dengan aspirasi pelaburan negara terutamanya dalam peningkatan kerumitan ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membangun kelompok ekonomi sedia ada seperti di KHTP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Ferrotec di KHTP, Kulim pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ferrotec Holdings Corporation, He Xian Han.

Menurut Ku Abdul Rahman, kejayaan Kedah menarik pelaburan adalah disebabkan pelbagai faktor termasuk hubungan baik semua agensi kerajaan mahupun persekutuan yang memberikan kerjasama sebagai satu pasukan.

"Di peringkat persekutuan, MIDA telah memainkan peranan besar dalam menarik pelabur ke Kedah.

"Saya ingin mengambil ini peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada MIDA atas sokongan dan komitmen mereka," katanya.

Sementara itu, Bee Vian menjelaskan, walaupun berdepan persaingan daripada negara pengeluaran kos rendah, syarikat jentera dan peralatan (M&E), Malaysia terus berkembang maju dalam menghasilkan produk bernilai tinggi dan perkhidmatan bersepadu.

"MIDA bermatlamat untuk memudahkan syarikat tersebut dengan memudahkan peluang pelaburan yang berterusan untuk mengembangkan keupayaan operasi mereka sekali gus meningkatkan kualiti dan pengeluaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!