'Sewang' simbolik pertahan alam sekitar Orang Asli Temiar
Terletak 37 kilometer dari pekan Gua Musang, hampir semua penduduk kampung iaitu kira-kira 70 orang turun padang bergotong-royong membuat persediaan untuk upacara ‘Sewang’ tanpa menghiraukan cuaca panas.
‘Sewang’ adalah antara upacara turun-temurun masyarakat Orang Asli bagi meraikan tetamu, perayaan, mengubati penyakit ataupun meminta ‘petunjuk’ untuk merungkai masalah.
Penulis dan tiga lagi rakan dari Bernama iaitui Aslah, Mikhail serta jurukamera, Shahrizan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan upacara Sewang ini meskipun kami terpaksa meredah perjalanan sejauh 62 kilometer dari Kampung Bering yang memakan masa kira-kira dua jam untuk sampai ke Kampung Kaloi.
Kami sebelum ini mempunyai tugasan di Kampung Bering dan dimaklumkan kebiasaannya Sewang diadakan secara tertutup dan yang akan diadakan ini dibuat khas untuk memberkati perjalanan kami ke perkampungan mereka.
Untuk rekod penulis dan rakan-rakan menjadi tetamu di Perkampungan Orang Asli itu dari 14 Jun hingga 15 Jun 2022.
Kenderaan pacuan empat roda yang kami naiki untuk ke Kampung Kaloi berhenti betul-betul berhadapan dengan 'Dewan Adat' iaitu bangsal yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun bertam.
Bangsal itu berfungsi sebagai rumah ibadat kepada masyarakat Temiar yang menganuti kepercayaan animisme, selain sebagai dewan persembahan.
Ketibaan kami sekitar jam 5 petang disambut mesra oleh Jimi Along, 48, seorang penduduk di Kampung Kaloi.
"Beginilah suasananya apabila ada upacara Sewang di sini. Kebiasaannya kami akan mengadakannya selama tiga malam berturut-turut dalam suasana gelap, bergantung kepada situasi dan tujuan.
"Jika untuk meraikan tetamu seperti kamu semua, hanya satu malam sahaja," tambahnya.
Menurut Jimi, mengikut tradisi suku kaum Temiar, ketika upacara Sewang berlangsung tidak dibenarkan merakam atau mengambil gambar. Namun kami dibenarkan untuk berbuat demikian dengan syarat tidak boleh menggunakan flash sepanjang upacara berlangsung.
"Setiap perkampungan Orang Asli mungkin berlainan upacara Sewangnya. Contohnya, kami tidak mengadakan upacara ini di dalam gelap, sebaliknya membuka lampu kerana Tok Halak (Ketua Balai) kami mengalami masalah penglihatan.
"Mengikut adat bersewang, Tok Halak kami turut memainkan peranan sebagai dukun yang berkebolehan berkomunikasi dengan pesakit dan makhluk halus," katanya.
Pantang larang 'sewang'
Ketika melangkah masuk ke dalam Dewan Adat, saya perhatikan ada kain rentang putih dengan tulisan berbunyi 'Warisan Bumi, Mesra Alam Hayati Tok Halak, Hukum Adat Orang Asli Suku Kaum Temiar' digantung di dewan itu dengan dikelilingi oleh hiasan daun palas.
Kami dijamu dengan makan malam berupa nasi dan lauk pauk di dalam buluh, makanan tradisional suku kaum Temiar sebelum upacara bermula tepat jam 9 malam.
Terdapat beberapa pantang larang dan peraturan yang perlu diikuti sepanjang upacara itu berlangsung supaya tidak melanggar adat.
"Kebiasaannya ia akan berlangsung selama empat hingga lima jam, selepas dua jam akan ada rehat selama 30 minit hingga sejam, kemudiannya sambung semula sehingga ke lewat malam.
"Sepanjang upacara berlangsung, semua orang perlu berada di dalam dewan dan tidak dibenarkan keluar kerana banyak 'makhluk halus’ sebenarnya sedang mengelilingi dewan ini dan menunggu 'giliran' untuk menyertai upacara ini.
"Jika sesiapa yang melangkah keluar dari dewan ini, dikhuatiri mereka akan jatuh sakit akibat 'gangguan' makhluk halus," jelas Jimi.
Di beranda dewan, semua kaum lelaki dipakaikan 'topi' hiasan kepala yang dianyam daripada daun palas, manakala perempuan pula disanggulkan dengan bunga dan daun hutan di rambut, termasuk kami yang menjadi tetamu untuk upacara itu.
Sejambak bunga yang digubah bersulam dengan daun hutan yang dipanggil tempok turut disua ke tangan kami.
"Pemakaian tempok adalah sebagai pelindung yang menjauhkan seseorang daripada semangat jahat yang mungkin memasuki badan ketika menyaksikan upacara itu," demikian menurut Jabeng Angah, 52, penduduk Kampung Kaloi yang berperanan memukul gendang pada malam itu.
'Golongan terpilih'
Dalam kesamaran malam yang hanya diterangi cahaya lampu dari dewan adat itu, kelihatan beberapa orang penduduk Kampung Kaloi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat melangkah masuk ke dalam dewan itu dengan memegang batang buluh dan daun palas.
Selepas melangkah ke ruang utama, kami diminta untuk duduk, dan saya lihat di tengah-tengah dewan itu tersusun bahan yang akan digunakan dalam upacara itu seperti gendang, lilin, daun sireh serta periuk yang diisi dengan arang kemenyan.
Along Busu, 75, iaitu Tok Halak yang akan mengetuai upacara pada malam itu, menyapa kami sebelum mengambil tempat di tengah-tengah dewan itu bersama-sama dengan kira-kira 10 orang lelaki yang berperanan sebagai penari dalam upacara itu.
Sekumpulan wanita pula duduk bersila sambil memegang dua batang buluh bertentangan kami, berperanan sebagai pemain muzik bagi upacara itu.
"Hanya golongan lelaki yang terpilih dan dilatih oleh Tok Halak sahaja boleh duduk di tengah-tengah untuk mengetuai dan menyertai upacara itu sebagai penari atau dikenali sebagai ‘nyuk’.
"Kami percaya bahawa semangat dan roh ini ada pada setiap objek sama ada di atas tanah, sungai dan pokok, yang terdiri daripada 'Raja', 'Naga' dan 'Datuk'.
"Jadi, ketika upacara Sewang, mereka yang berada di tengah-tengah akan memuja dan membaca mantera sebelum dirasuk oleh semangat-semangat ini," bisik Jimi kepada saya dan rakan-rakan. Sudah tentu kami berasa agak gerun melihatkan upacara yang sedang berlangsung.
(Untuk makluman, kami turut bermalam di dewan berkenaan dan hujan turun dengan lebat. Perasaan gerun semakin pudar kerana hati saya lebih memikirkan hujan yang lebat dan ada bumbung yang bocor.)
Kemuncak 'sewang'
Kira-kira lima minit kemudian, kelihatan asap kemenyan dan lilin dinyalakan di tengah-tengah dewan itu, kedengaran juga suara Along sebagai Tok Halak berbisik kepada orang kanannya sebagai isyarat majlis akan bermula.
Dalam keheningan malam itu, suara garau seorang lelaki muda tiba-tiba memecah kesunyian dengan laungan dalam bahasa Temiar.
Walaupun tidak memahami apa yang dituturkan, saya sempat ‘menangkap’ beberapa patah perkataan seperti rahmat, berkat dan selamat yang memberi gambaran bahawa Tok Halak sedang membaca mantera.
Selepas menyampaikan hajat dan permintaan kepada semangat di hutan, Tok Halak berdiri lantas memulakan nyanyian yang kemudian disambut oleh suara ‘orkestra’ perempuan yang menghentak-hentak dua batang buluh pada kayu genalang bagi menghidupkan rentak ‘tribal’ di dalam dewan itu.
Lagu yang dinyanyikan adalah secara bergilir-gilir antara suara lelaki dan wanita dengan cukup ringkas.
Mengikut kepercayaan Temiar, baris dan rangkap tertentu dalam lagu-lagu Sewang dipilih sebagai korus yang berfungsi sebagai pujukan kepada roh nenek moyang mereka dan semangat di hutan agar hajat yang dipohon diperkenankan.
Di tengah dewan, kumpulan penari lelaki mula rancak menari mengikut rentak alat muzik yang dipanggil ‘smer’. Lantai buluh melendut dan meleding (melengkung) dipijak mereka, sesekali bergoyang sehingga ke tempat duduk kami.
Setiap kali berakhirnya rangkap lagu, jambak bunga yang berada di genggaman setiap penari dikibas-kibas pada seluruh badan.
"Mereka sudah tidak sedarkan diri, roh sudah memasuki badan mereka," bisik Jimi kepada kami.
Suasana di dalam dewan itu dihidupkan lagi dengan hiasan daun yang digantung di sekeliling dewan tarian, serta bahan pujaan sepeti pulut dan telur masak yang terletak di tepi tingkap dewan itu.
Perasaan kami ketika itu sedikit terkejut apabila sesekali melihat sesetengah penari lelaki yang begitu rancak beraksi dengan mengetuk kepala mereka dengan jambak bunga luar daripada jangkaan.
"Jangan tiru aksi mereka kerana berbahaya bagi orang-orang biasa, kebanyakan daripada mereka sudah dilatih sejak kecil," kata Jimi.
Selepas kira-kira dua jam iaitu pada pukul 11 malam, upacara berakhir dengan iringan doa oleh Tok Halak sebelum semua bersurai.
Penebangan hutan jejas adat
Sementara itu, Hasmawi Along, 28, yang turut menjadi penari bagi upacara Sewang memberitahu penulis, penebangan hutan secara besar-besaran menyukarkan pencarian bahan untuk melakukan upacara berkenaan.
"Sebelum ini, kalau nak kutip daun palas dan bunga untuk Sewang, senang sahaja, depan belakang rumah pun ada. Sekarang, kami terpaksa berjalan jauh sehingga dua jam dari kampung kami untuk mendapatkan daun-daun itu.
"Hal ini kerana hutan di sini sudah ditebang habis oleh pembalak tidak bertanggungjawab. Mereka datang main tebang sahaja, tak hormat langsung tanah adat kami yang duduk di sini dah berapa ratus tahun," katanya, sambil menambah kegiatan pembalakan bermula di kawasan sekeliling Kampung Kaloi kira-kira 10 tahun lalu.
Hasmawi turut melahirkan kebimbangan suatu hari nanti identiti masyarakat Temiar mungkin akan hilang dan adat istiadat mereka tidak dapat diwarisi kerana kegiatan pembalakan yang tidak terkawal.
"Bukan sahaja identiti, malah sumber makanan kami yang kebanyakannya bergantung kepada sumber hutan, boleh lenyap begitu sahaja.
"Kami mahu anak cucu kami mewarisi identiti dan adat istiadat kami, sekurang-kurangnya biarlah mereka tahu keunikan warisan kami yang sudah diamalkan oleh nenek moyang lebih 100 tahun ini," katanya.
Seperti mana penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang lain, Hasmawi turut berharap agar kerajaan dapat mengawal aktiviti pembalakan secara besar-besaran dengan mewartakan hutan simpan kekal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!