11,000 pegawai, anggota polis Johor bertugas pada PRU15
![Kamarul Zaman (tengah) bersama-sama petugas media selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM, Kota Tinggi, pada Selasa.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/08/09/1866999.jpg)
KOTA TINGGI - Seramai 11,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor akan bertugas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya kini berada dalam siap sedia sekiranya PRU15 diadakan pada bila-bila masa.
"Kita memang sudah siap sedia sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Februari lalu. Tiada anggota tambahan memandangkan pilihan raya umum akan diadakan di seluruh negara.
"Anggota akan bergerak secara 'mobilise' dan kita yakin dengan kekuatan yang ada sekarang mampu hadapai PRU15," katanya dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM di sini pada Selasa.
Pihaknya akan menubuhkan Pasukan Cantas Khas bagi menangani elemen gengsterism dan mencegah daripada berlaku kacau-bilau semasa PRU15.
Beliau berkata, penubuhan tersebut bagi menentukan perjalanan semua kaedah PRU15 berjalan lancar mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Ini sepertimana penubuhan pasukan yang sama pada PRN Johor lepas untuk memastikan tiada gangguan semasa penamaan calon, berkempen dan juga semasa hari PRU, kita nak pastikan tiada gangguan daripada mana-mana pihak," katanya.
Pasukan tersebut katanya, akan ambil tugas risikan dan cari maklumat sekiranya terdapat rancangan untuk membuat kacau atau sebagainya.
"Pada PRN Johor lepas alhamdulillah tiada berlaku apa-apa perkara tidak sedemikian," katanya lagi.
Kamarul Zaman memaklumkan tiada kawasan panas dikenal pasti di negeri ini pada PRU15 dan berharap semuanya akan berjalan lancar dan tenang sebagaimana PRN Johor yang berlangsung awal tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!