Isu mat rempit: Seksyen 42 APJ 1987 bakal dipinda

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGETOWN - Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda di Parlimen bagi membendung gejala lumba haram dan mat rempit yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak, berkata, usaha jangka panjang itu akan dibawa ke persidangan pertama Parlimen tahun hadapan untuk dipinda bagi mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pelumba haram.

Menurutnya, usaha tersebut sudah dilaksanakan untuk pemandu mabuk sebelum ini dan didapati berkesan dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah memandu dalam keadaan mabuk.

"Kita dalam proses untuk meminda akta di Parlimen pada tahun depan iaitu meminda akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan mengenakan hukuman lebih berat serta meningkatkan kadar minima saman yang dikenakan.

"Ketika ini, saman RM300 dikenakan kepada pesalah, dan mungkin selepas ini akan ditingkatkan antara RM5,000 hingga ke RM10,000.

"Kita juga mungkin akan menimbangkan hukuman penjara kepada pelumba-pelumba haram kerana mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim.

Isham (dua dari kanan) bersalaman dengan Mat Kasim sambil diperhatikan Mohd Shuhaily (kiri) selepas sidang media pada Selasa.
Isham (dua dari kanan) bersalaman dengan Mat Kasim sambil diperhatikan Mohd Shuhaily (kiri) selepas sidang media pada Selasa.

Tambah Isham, akta yang akan dipinda itu juga bakal melibatkan bengkel pengubahsuaian motosikal yang mengubah suai motosikal mat rempit untuk tujuan lumba haram.

"Kita akan melihat pindaan akta supaya bengkel-bengkel tersebut akan diambil tindakan. Selain itu, pelumba haram di bawah 18 tahun, yang mana ibu bapa mereka juga perlu bertanggungjawab ke atas perilaku anak-anak berlumba haram.

"Bukan sekadar ibu bapa sahaja, pindaan akta ini juga akan melibatkan tindakan akan diambil terhadap penyokong dan penonton di lokasi ketika perlumbaan haram berlangsung. Kita akan bekerjsama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama kementerian, polis bagi membantu memberi maklumat kepada kita, dalam usaha untuk mengukuhkan lagi pindaan akta.

"Di kementerian, kita akan menubuhkan satu 'task force' dalam tempoh tiga bulan ini, untuk kita mendapat input daripada polis, NGO, JPJ dan masyarakat mengenai usaha bersama secara bersepadu dalam membanteras isu-isu mat rempit ini," katanya.

Jelas beliau lagi, usaha membanteras isu lumba haram dan mat rempit ini perlu dilaksanakan secara bersepadu agar memberi impak lebih berkesan.

"Kita juga sedang melihat cadangan lain antaranya membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di JPJ mengenai butiran mat rempit yang telah menerima hukuman untuk mengenakan premium insurans lebih tinggi terhadap mereka.

"Selain itu, menerusi cadangan pindaan akta ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa untuk menyita dan menarik balik lesen bengkel mengubah suai motosikal bagi kegiatan lumba haram," ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, empat maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!