Permohonan PBM sertai BN diketahui minggu depan: Tok Mat

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diketahui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada minggu hadapan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana keputusan tersebut mesti dibuat secara konsensus membabitkan semua pihak atau parti komponen dalam BN.

"BN ini...ia bukan diputuskan oleh satu orang, ataupun satu parti, ia merupakan satu parti yang keputusannya mesti dibuat secara konsensus iaitu semua pihak atau parti komponen dalam BN bersetuju, baru boleh. Tunggulah sehingga mesyuarat diadakan.

“Perbincangan akan diadakan semasa mesyuarat tersebut dan semua pihak mesti bersetuju, kalau ada satu pihak tidak bersetuju ia tidak akan boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi PRU15.

Bagaimanapun, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan Datuk Zuraida Kamaruddin ada bertemunya awal bulan lepas untuk menyatakan hasrat PBM itu.

"Saya telah minta beliau untuk menulis surat kepada Pengerusi BN untuk perkara ini dibawa dan dipertimbangkan dalam mesyuarat BN. Selain PBM, terdapat juga beberapa parti lain turut menyatakan hasrat untuk menyertai BN," katanya.

Mohamad berkata, pertimbangan-pertimbangan dari pelbagai sudut mesti diperhalusi selain tidak mahu ada pihak lain tidak senang hati jika menerima sesuatu parti masuk menjadi anggota BN.

"Jadi, ia akan dibahas dan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Kita (BN) sentiasa menghargai sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak sebab sokongan semua pihak amat penting...sama ada mereka mahu menjadi anggota BN ataupun tidak, itu cerita lain.

"Cerita sokongan itu sudah lama, seperti parti dalam Friends of BN, ada yang sudah 30 tahun menjadi anggota malah tidak timbul soal, kami tidak perlukan sokongan sesiapa, tetapi soalnya, menjadi anggota BN itu mesti dapat kelulusan sebulat suara.

"...Itu kadang-kadang yang menjadi kesulitan untuk BN buat keputusan kerana masing-masing parti ada kepentingannya," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan sokongan rakan-rakan walaupun tidak menjadi ahli penuh BN, amat diraikan.

"Soal sama ada mereka akan diberi peluang mewakili BN di mana-mana kerusi, itu cerita lain, itu boleh dipertimbangkan sekiranya ada kerusi-kerusi yang sesuai diwakili oleh mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!