Kadi direman empat hari disyaki buat tuntutan palsu
JOHOR BAHRU - Seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) direman empat hari kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu, dua tahun lalu.
Majistret, R Salini membenarkan suspek berpangkat kadi daerah yang merupakan orang disyaki direman bermula Selasa selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Selasa.
Menurut sumber, suspek yang berusia 51 tahun itu ditahan kerana mengemukakan tuntutan palsu ke Bahagian Kewangan Pejabat Kadi Daerah berkenaan bagi bulan Oktober 2020 berkaitan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri.
Tertuduh dikatakan membuat tuntutan menaiki kenderaan persendirian sedangkan beliau menghadiri program anjuran JAINJ dengan menggunakan kenderaan jabatan.
Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 8.30 pagi dengan berpakaian lokap sambil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!