'Jangan tunggu dapat percuma baru kibar Jalur Gemilang'

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PAPAR - Orang ramai dinasihatkan supaya membuang sikap menunggu pemberian Jalur Gemilang percuma untuk mengibarkannya terutama di premis mereka sempena Bulan Kebangsaan.

Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee berkata, orang ramai seharusnya memainkan peranan untuk bersama-sama meraikan Bulan Kebangsaan dan mengetepikan persepsi bahawa tanggungjawab memeriahkan Bulan Kebangsaan terletak atas bahu jabatan dan agensi kerajaan semata-mata.

"Kita semua juga perlu lebih peka tentang Jalur Gemilang di sekeliling kita, sekiranya ada Jalur Gemilang yang lusuh atau koyak, ambil inisiatif membeli, menukarnya dengan baharu atau memberitahu pemilik premis untuk tukar dengan yang baharu.

"Jangan kita ambil mudah soal menjaga imej serta identiti negara dan sama-samalah kita menjaga perpaduan antara kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia Daerah Papar di sini pada Selasa.

Papar merupakan hentian pertama daripada 43 hentian dalam Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia negeri Sabah selama 10 hari bermula hari ini disertai 19 kenderaan daripada 12 jabatan serta agensi.

Jabatan dan agensi terlibat antaranya Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Ketua Kampung Andus, Mohammad Majid, 68, berkata, erti kemerdekaan sebenar bukan sekadar tarikh 31 Ogos itu semata-mata, sebaliknya membebaskan diri sendiri daripada sesuatu yang negatif dan memupuk semangat sayangkan negara.

"Orang muda terutamanya, saya nasihatkan merdekakan diri sendiri, jauhkan diri daripada hal-hal negatif, kalau masih lagi kekal dengan perkara atau sikap tidak baik itu belum merdeka lagi, merdekakan diri kita sendiri dahulu baharu kita boleh merdekakan orang lain di sekeliling kita,” katanya.

Guru sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir, Noneh Ahmad, 50, pula berkata jika generasi dahulu berjuang memerdekakan negara daripada penjajah, generasi hari ini pula berperanan memerdekakan diri daripada penjajahan minda. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!