Malaysia, Indonesia meterai MoU kukuh kerjasama pertahanan

Hishammuddin (kanan) dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto menandatangani memorandum persefahaman ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira pada Selasa. - Foto Bernama
Hishammuddin (kanan) dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto menandatangani memorandum persefahaman ketika hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan, yang merangkumi lima skop utama.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU itu membabitkan perkongsian maklumat mengenai isu pertahanan, kerjasama antara kedua-dua angkatan tentera di pelbagai peringkat termasuk pertukaran pegawai, latihan ketenteraan dan pendidikan.

"Selain itu, dialog dan rundingan dua hala mengenai isu pertahanan strategik dan ketenteraan berdasarkan kepentingan bersama, kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pertahanan serta industri pertahanan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Hishammuddin dan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am ke-42 antara Malaysia dan Indonesia di Wisma Perwira di sini.

Hishammuddin berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan pembangunan sosio-ekonomi di sepanjang sempadan.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan latihan Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan yang akan dilaksanakan semula pada 2023 dengan memberi tumpuan kepada anti keganasan.

"Selain itu ia selari dengan komitmen yang saya suarakan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi fokus sepenuhnya untuk meningkatkan pertahanan di sempadan termasuk sempadan Sarawak-Kalimantan.

"Ini susulan perancangan kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kota mereka ke Kalimantan,” katanya.

Hishammuddin berkata, mesyuarat itu turut mencapai kesepakatan dalam keselamatan dan pertahanan di sempadan termasuk mempercepatkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia di Pos Gabungan Bersama (GABMA) melibatkan 14 pos di kedua-dua negara.

"Selain itu, kita juga sepakat mengaktifkan semula patrol terkoordinasi darat, laut dan udara yang telah tertangguh disebabkan COVID-19, serta mewujudkan kerjasama keselamatan siber," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!