Tangkap mat rempit guna cara baharu

Kejadian yang mengorbankan lima nyawa selepas terlibat dalam lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. (Gambar kecil: Isham Ishak)
Kejadian yang mengorbankan lima nyawa selepas terlibat dalam lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. (Gambar kecil: Isham Ishak)
A
A
A

GEORGETOWN - Pihak berkuasa akan menggunakan strategi baharu dalam menangani isu mat rempit dan lumba haram iaitu dengan merakam wajah pelaku yang terlibat sebelum menahan mereka untuk tindakan lanjut.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak berkata, sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jab atan Pengangkutan Jalan (JPJ) hanya membuat operasi di lokasi perlumbaan dengan menahan mereka yang terlibat.

Menurutnya, cara tersebut dilihat akan membahayakan anggota penguatkuasa, pengguna jalan raya yang lain serta penonton yang berada berdekatan dengan lokasi perlumbaan.

"Pulau Pinang akan menjadi model untuk projek perintis tersebut sebelum dibuat secara nasional iaitu diguna pakai ke seluruh negara. Kita akan pastikan usaha bersepadu ini efektif dan mendatangkan impak yang besar, bukan sahaja kepada masyarakat malah mengubah budaya jijik lumba haram ini.

"Selalunya polis dan penguatkuasa JPJ akan berada di lapangan sebelum serbuan dibuat untuk menahan mat rempit yang terlibat dalam perlumbaan haram. Tindakan ini dilihat berbahaya. Oleh itu, kita mengambil pendekatan secara defensif.

"Kita melihat menggunakan 'reach approach' iaitu menggunakan kamera-kamera untuk melihat dan memperoleh gambar suspek yang terlibat sama ada mereka ini penonton atau pelumba haram.

"Selepas itu, polis akan menahan suspek sama ada di rumah atau tempat kerja mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Wira Mat Kasim Karim.

Tambahnya, pihak berkuasa juga dalam usaha untuk mengubah budaya 'mengagungkan' mat rempit yang membawa kemudaratan kepada semua pihak.

"Kita melihat, mereka telah mengangkat pelumba haram yang memenangi perlumbaan sebagai 'wira' sedangkan budaya tersebut amat jijik. Kadang-kadang, bengkel yang telah mengubahsuai motosikal yang memenangi perlumbaan haram mendapat nama dan tersebar sebagai bengkel yang berjaya menghasilkan motosikal yang laju.

"Ini adalah pandangan yang menjijikan dan bukan mendatangkan kebaikan. Oleh demikian, masyarakat, media dan ibu bapa diharap dapat membantu kita dalam usaha membanteras pelumba haram ini secara keseluruhannya," katanya.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, pihak polis berharap pendekatan atau model baharu itu berjaya di Pulau Pinang sekali gus dapat diaplikasikan di negeri-negeri lain dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.

Beliau berkata, fenomena mat rempit itu menyeluruh di seluruh negara namun perhatian diberikan lebih di Pulau Pinang apabila berlaku peningkatan kematian akibat kemalangan membabitkan golongan tersebut.

"Berdasarkan statistik sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,096 operasi samseng jalanan dijalankan di seluruh negara dan seramai 1,451 pesalah atau mat rempit ditahan dengan 21,258 saman dikeluarkan manakala 2,200 kenderaan telah disita.

"Daripada jumlah itu, Perak merekodkan operasi samseng jalanan paling tinggi iaitu 286 operasi dan 4,597 saman dikeluarkan diikuti Pulau Pinang dengan 157 operasi membabitkan 4,444 saman dan Johor, 157 operasi dan 1,436 saman," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Mereka yang maut adalah Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25 dari Bayan Lepas, Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22 dari Pendang, Kedah, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19 dari Bayan Lepas, Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 dari Georgetown dan Mohd Haziq Harris, 34 dari Bayan Lepas.

Sementara yang parah adalah Muhammad Rahimi Shukor, 19 dari Ayer Itam yang mengalami kecederaan di muka dan kepala serta Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 yang berasal dari Pendang, Kedah yang mengalami kecederaan di tangan, kaki serta muka.

Ends.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!