Wanita hamil didakwa tipu jual rumah PR1MA

Farizirah (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Aor Gajah pada Selasa atas dua pertuduhan menipu urusan jualan rumah PR1MA.
Farizirah (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Aor Gajah pada Selasa atas dua pertuduhan menipu urusan jualan rumah PR1MA.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang wanita hamil didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas dua pertuduhan menipu urusan jualan rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Tertuduh, Farizirah Safarizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang wanita untuk bayaran pendahuluan pembelian sebuah rumah PR1MA Residensi A'Famosa dan bayaran kos penyelenggaraan tidak wujud berjumlah RM6,350 ke dalam akaun miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Durian Terung Air Pa'abas di sini, pada 31 Januari hingga 28 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,500 secara tunai.

Perbuatan dilakukan di kawasan pembinaan rumah PR1MA Residensi A'Famosa di sini, pada Disember tahun lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha yang mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia tidak lagi bekerja dan sedang hamil selain menjaga ibu yang menghidap kanser.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 23 September depan sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!