Lelaki diberkas tak sampai 24 jam lepas rosakkan mesin ATM

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Tindakan seorang lelaki yang menendang dan cuba mengeluarkan wang secara paksa daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi di sini membawa padah apabila dia diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, laporan polis dibuat oleh pengurus bank tersebut yang memaklumkan telah dihubungi pekerjanya berkaitan dua skrin mesin ATM di bank berkenaan telah mengalami kerosakan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci serta tiada kawalan pengawal keselamatan semasa kejadian.

"Suspek cuba untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM dan tiba-tiba bertindak menendang skrin tersebut sehingga menyebabkan kerosakan dan suspek terus melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan berdasarkan penemuan beberapa barangan yang kemudian membawa kepada penangkapan suspek.

"Suspek berumur 25 tahun diberkas kira-kira jam 8.45 malam di kawasan Jalan Dato Dagang 6, Taman Sentosa, Klang oleh sepasukan anggota Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan.

"Suspek yang merupakan warga tempatan itu didapati mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan perbuatan khianat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!