Wanita OKU melecur, bilik tidur terbakar
ALOR SETAR - Seorang wanita kurang upaya melecur di bahagian badan dalam kejadian kebakaran di bilik tidur rumahnya di Jalan Sekolah, Alor Merah di sini tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata, pada awalnya bomba menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.36 tengah malam berkaitan kejadian terbabit.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bergegas ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
"Sebaik anggota bomba tiba di lokasi, didapati kebakaran sudah dipadamkan pemilik rumah berkenaan dengan menggunakan alat pemadam api," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa
Menurutnya, mangsa yang berusia 22 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
"Mangsa dilaporkan melecur di bahagian badan.
"Komander operasi melakukan pemantauan supaya kebakaran dapat dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 1.23 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!