UMNO Selangor selar sikap MB

Noh (tengah) bersama ahli PBPM di Bangunan Kumpulan Muara di Shah
Alam pada Selasa.
Noh (tengah) bersama ahli PBPM di Bangunan Kumpulan Muara di Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyelar sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang kerap menyalahkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) walaupun hampir tiga penggal mentadbir negeri.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sikap Menteri Besar itu sebenarnya membuktikan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya gagal dalam mentadbir negeri Selangor sehingga kini.

Menurut beliau, Amirudin hanya pandai menuding jadi sedangkan setiap kontrak mempunyai perjanjian dan klausa penamatan yang boleh digunakan jika sesuatu projek tidak sempurna.

“Tiga penggal pun sudah nak habis, apa nak salahkan BN lagi, ini membuktikan bahawa Menteri Besar (Selangor) hari ini dan PH memang tak reti memerintah.

“Tak boleh buat (sesuatu projek) sebab yang (buat keputusan) lama (ialah BN), yang tak boleh ubah al-Quran sahaja.

“Takkan tak ada klausa penamatan dalam perjanjian. Saya ketawa bila Menteri Besar jawab macam ini. Sebab apa...sebab pilihan raya semakin dekat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Beliau juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Kali Ke-48 di Bangunan Kumpulan Muara di sini.

Noh berkata demikian mengulas pendedahan Amirudin dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada 2 Ogos lalu bahawa isu timbul ketika ini banyak diwarisi legasi terdahulu bahkan ada yang terpaksa diuruskan semula.

Dalam pada itu, Noh turut menyalahkan kepimpinan PH yang enggan menerima cadangan kerajaan BN untuk membina 'Canal City' bagi mengatasi masalah banjir kilat di Shah Alam.

“Banjir ini siapa punya punca? Kalau dia dengar nasihat kita dulu nak buat Canal City, tak berlaku banjir teruk seperti sekarang. Kerajaan negeri bagi alasan kalau buat Canal City, nanti BN punya projek berbilion bagi kroni.....terus tak buat.

“Akhirnya tengok dia memerintah, tempat takungan air dia pergi buat perumahan, pembangunan, itu yang banjir gila-gila ini, siapa yang rugi,” katanya.

Menurut Noh, Amirudin perlu berhenti menyalahkan kerajaan BN kerana kerajaan PH sendiri ditadbir oleh tiga Menteri Besar dalam tempoh tiga penggal.

“Saya harap rakyat dapat menilai tiga penggal dia jadi kerajaan, cukup-cukuplah dia nak tipu rakyat. Tiga penggal memerintah, tiga Menteri Besar bertukar, masih nak salahkan kerajaan BN,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!