16 pasar raya di Perak jual minyak masak lebih murah
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengenal pasti 16 buah pasar raya di negeri ini menjual minyak masak botol 5kg pada harga lebih rendah berbanding harga siling ditetapkan kerajaan.
Pengarah KPDNHEP Perak, Safullizan Kamarul Zaman berkata, dapatan tersebut hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 56 buah pasar raya di sekitar negeri ini sejak Isnin lalu.
Menurutnya, hampir kesemua peniaga mematuhi harga kawalan bagi minyak masak botol yang ditetapkan kerajaan terutama bagi 5kg iaitu RM34.70.
"Berdasarkan pemerhatian kita sejak semalam, kita dapati kerjasama yang diberikan oleh peniaga sangat baik di mana peniaga telah mematuhi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kita dapati juga ada peniaga yang masih menjual harga minyak masak botol 5kg pada harga RM29.70 dan kalau hari ini dijual pada RM33.90," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Pemantauan Pelaksanaan Penentuan Harga Runcit Maksimum Bagi Minyak Kelapa Sawit Tulen Kemasan Botol Negeri Perak di sebuah pasar raya di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Saifullizan berkata, KPDNHEP Perak juga telah melaksanakan Ops Ayam, Telur dan Minyak Masak (ATM) sejak 1 Julai lalu dengan menghasilkan 21 kes.
Menurutnya, sehingga 8 Ogos lalu, sebanyak 1,455 pemeriksaan ke atas rantaian bekalan minyak masak dan kes dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Dan Pencatutan 2011 dengan nilai rampasan RM6,176.90.
Jelas beliau, kesalahan gagal mengemaskini buku stok paling tinggi iaitu membabitkan 14 kes diikuti dua kes mengenakan pembelian bersyarat, menjual tanpa lesen (2 kes), masing-masing satu kes bagi enggan mengemukakan dokumen, menjual barang kawalan dan tidak membuat label terhadap barang tersedia bungkus.
Dalam pada itu, Saifullizan menasihati pengguna supaya mendapatkan maklumat mengenai harga sebenar minyak masak menerusi aplikasi Price Catcher.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!