NU Ideaktiv guna empat kaedah untuk jana pendapatan

Tangkap layar Syamil Fahim (atas, kanan) bersama Lih Kang (atas, kiri) dan King Hui (bawah, kiri) dalam sesi soal jawab seminar ‘Global Textbook Trends: Insights for Governments and Publishers’ yang berlangsung secara maya pada Selasa.
Tangkap layar Syamil Fahim (atas, kanan) bersama Lih Kang (atas, kiri) dan King Hui (bawah, kiri) dalam sesi soal jawab seminar ‘Global Textbook Trends: Insights for Governments and Publishers’ yang berlangsung secara maya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Empat pendekatan dilaksanakan oleh NU Ideaktiv Sdn Bhd (NU Ideaktiv) dalam usaha menjana pendapatan selaras transformasi syarikat itu ke arah pendigitalan sepenuhnya bermula dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim mengakui, bentuk pengoperasian majalah digital adalah berbeza dengan bercetak.

“Pendekatan pertama adalah melalui ‘programmatic’ di mana sekiranya kita mempunyai permintaan yang tinggi, maka kita boleh meletakkan kod Google dalam laman web untuk memperoleh wang.

“Kita juga boleh mendapatkan wang daripada beberapa kandungan yang dimuat naik di Facebook, ini juga dianggap sebagai kaedah ‘programmatic’.

“Kita juga boleh menggunakan Facebook sebagai platform untuk memasarkan produk daripada penaja syarikat dan daripada situ juga, kita akan mendapat wang melalui penajaan,” katanya dalam sesi soal jawab seminar ‘Global Textbook Trends: Insights for Governments and Publishers’ yang berlangsung secara maya pada Selasa.

Seminar anjuran Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dengan kolaborasi International Publishers Association (IPA) itu turut dihadiri Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui dan Pengarah Eksekutif Pelangi Publishing Group, Sum Lih Kang.

Dalam pada itu, Syamil Fahim berkata, pihaknya turut menggunakan kaedah tradisional dengan memasarkan majalah dalam bentuk PDF di kedai buku dalam talian.

Selain itu katanya, dalam era digitalisasi kini, penerbit perlu sedar akan kepentingan untuk mewujudkan sistem langganan bagi syarikat menjana keuntungan.

“Cara-cara ini sebenarnya memberi kami banyak kebolehan. Jadi inilah sebabnya kami masih menumpukan perhatian untuk membina khalayak, memperoleh wang melalui ‘programmatic’ dan secara langsung.

“Jadi begitulah cara kami bertahan dalam industri ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!