Anwar gesa suarakan kemarahan terhadap serangan Israel

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak yang komited dalam pembebasan rakyat Palestin untuk terus menyatakan kemarahan terhadap serangan dibuat Israel.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihaknya mengutuk serangan dilakukan Israel terhadap Palestin dan sedih dengan kehilangan nyawa serta harta benda yang menambah kesengsaraan dialami di bawah penjajahan Israel.

“Saya juga mengecam tindakan menyerbu pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis oleh lebih 1,000 peneroka Israel pada Ahad.

“Provokasi lanjut ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa yang mengawal tapak suci itu.

“Di samping serangan terhadap orang Kristian dan tapak Kristian di Israel yang berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tindakan ini menunjukkan sikap tidak hormat yang jelas oleh pihak berkuasa Israel terhadap sentimen umat Islam dan Kristian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, dilaporkan Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, manakala kumpulan pejuang Palestin membalas dengan bedilan roket pada Sabtu dalam peningkatan keganasan paling buruk di rantau Asia Barat sejak perang pada tahun lalu.

Tambah Anwar, serangan ganas Israel terhadap rakyat Palestin telah menjadi rutin sehingga masyarakat antarabangsa yang sibuk dengan konflik dan krisis lain hampir tidak mengambil tahu.

“Penyerang mengambil kesempatan daripada keletihan dirasai pihak yang bersekutu dengan Palestin untuk terus bertindak tanpa sebarang hukuman atas nama menghapuskan pengganas untuk mencapai matlamatnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!