Pemimpin bercakaran sesama sendiri merugikan: Penganalisis
KUALA LUMPUR - Gendang belum dipalu namun bahang pilihan raya semakin dirasai apabila parti-parti politik mula mengorak strategi dan menggerakkan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Bukan itu sahaja, serangan berbaur politik juga semakin menjadi-jadi tanpa mengira parti sama ada pembangkang atau kerajaan.
Tambah menyedihkan adalah tindakan menyerang ‘sekutu’ sendiri dan memberi pihak lawan ‘bola tanggung’ untuk mengkritik serta mewujudkan persepsi buruk.
Keadaan itu menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa membuat kenyataan terbuka meminta agar ahli parti sekutu Barisan Nasional (BN) serta UMNO tidak menyerang antara satu sama lain, dan mengibaratkan "serangan terhadap saya bererti melemahkan kepimpinan BN”.
Beberapa pemerhati politik berpandangan bercakaran sesama sendiri tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya hanya merugikan parti dan kerajaan sendiri tatkala berada di saat akhir persiapan untuk berperang melawan musuh.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pemimpin parti tidak sepatutnya bercakaran dengan membuat serangan peribadi dalam berpolitik kerana ia adalah pendekatan tidak sihat dalam konteks politik Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
"Saya rasa yang terbaik adalah mereka perlu bawa agenda politik matang, maksudnya bicarakan isu pokok atau fundamental... mengutamakan kepentingan rakyat.
"Kurangkan retorik, kurangkan main sentimen memecahbelahkan... itu saya kata bawa politik matang dengan kurangkan negatif dan banyakkan positif serta perlu ada kesederhanaan dalam berpolitik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pemerhati politik juga berpandangan pemimpin parti-parti Melayu mesti berjiwa besar dan mengetepikan perbezaan selain bangkit bersama-sama untuk mengemudi agenda nasional serta bekerjasama memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menerusi catatan di laman Facebook beliau baru-baru ini, turut menzahirkan kerisauannya melihat pemimpin parti Melayu sibuk menyerang antara satu sama lain.
Mengingatkan keputusan PRU14 yang menyaksikan parti-parti Melayu membawa haluan masing-masing dan BN tewas setelah 60 tahun memerintah, beliau berkata tumpuan haruslah kepada usaha ke arah meningkatkan perpaduan, membina permuafakatan dan menyusun saf yang padu.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman pula berpendapat, penubuhan banyak parti Melayu bukan sahaja mewujudkan perpecahan bahkan akan turut merugikan bangsa.
Beliau berkata, pemimpin parti politik Melayu perlu mengamalkan diplomasi dalam berpolitik dan mengetepikan kepentingan peribadi selain tidak sepatutnya mempunyai agenda ‘liar’ untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin.
"Sekarang dalam kerajaan pusat bukan satu parti dominan tetapi ada beberapa parti. Apa yang ditakuti dalam kerajaan ini, walaupun berada dalam satu Kabinet tetapi (mungkin) ada pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri untuk menjatuhkan parti atau pemimpin tertentu.
"Akhirnya yang (dilihat) buruk itu Perdana Menteri... itu yang saya katakan tadi agenda liar yang sengaja dibuat untuk menjatuhkan reputasi dan prestasi pemimpin (lain) terutama Perdana Menteri perlu dielakkan,” katanya.
Bagi Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery, semua pemimpin perlu bersama-sama dengan Perdana Menteri untuk membangunkan semula negara.
"Dari segi politik, kita mahu lebih kepada semak dan imbang yang tidak membawa kepada perpecahan. Perbezaan pandangan boleh tapi hendaklah pandangan yang membina dan bukan meruntuhkan.
"Selain itu, kewujudan terlalu banyak parti juga menjurus kepada suasana yang tidak sihat walaupun ia dibenarkan dalam sistem demokrasi,” katanya.
Briged Negaraku adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti bagi memperkukuh perpaduan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!