Mangsa tangki air pecah pernah mimpi 'kemalangan' di sekolah
KOTA BHARU - Salah seorang pelajar yang menjadi mangsa kejadian tangki air pecah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di sini menceritakan dia pernah bermimpi minggu lalu akan ditimpa 'kemalangan' bersama-sama rakan-rakannya ketika di sekolah.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Mira, 14, berkata, dalam mimpi itu turut menunjukkan rakan-rakannya menerima rawatan di hospital, manakala dia hanya dirawat di klinik biasa.
"Saya masih terkejut dan tidak menyangka mimpi itu menjadi kenyataan. Apa yang berlaku hari ini sama sebagaimana mimpi tersebut.
"Semasa kejadian saya bersama empat rakan dalam perjalanan ke tandas selepas membeli barangan di koperasi pada waktu rehat.
"Ketika sedang berjalan di bawah laluan pejalan kaki, saya lihat ada titisan air jatuh dari tangki berkenaan dan sempat memberitahu rakan-rakan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambu Merah di sini pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sepantas kilat dan dia hanya sempat melihat air dari tangki itu keluar seperti ombak besar menyebabkan mereka dihanyutkan.
Katanya, selepas kejadian itu dia terkejut melihat rakan-rakan sudah terbaring dibawa arus deras air tangki tersebut.
Mira yang mengalami luka di tangan kiri dan kepala berkata, salah seorang rakannya yang dikenali dengan nama Yam pengsan, manakala seorang lagi luka di kepala dan seorang lagi luka ringan.
Dia berkata, Yam dan rakannya yang mengalami luka di kepala sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) manakala seorang lagi rakannya dibenarkan pulang.
"Saya hanya mendapat rawatan di klinik berhampiran sahaja dan masih trauma dengan kejadian tersebut sehingga sukar untuk menceritakan kembali kerana sedih serta takut," katanya yang beberapa kali menangis kerana masih berada dalam ketakutan.
Mira berkata, semasa kejadian bukan mereka berlima sahaja tetapi ada tiga lagi pelajar lelaki tingkatan dua serta seorang makcik kantin dan anaknya yang kebetulan ingin mengambil surat berhenti sekolah bagi menyambung pengajian.
Sementara itu, pelajar lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Angah, 14, berkata, air sangat deras sehingga dia terfikir akan mati pada waktu itu.
"Saya cuba berpaut pada tiang, tetapi disebabkan air sangat deras ia terlucut dari tangan menyebabkan saya dihanyutkan dan basah kuyup.
"Manakala seorang lagi rakan saya dihanyutkan dan seorang lagi sempat melarikan diri," katanya yang tidak mengalamai sebarang luka tetapi demam mengejut disebabkan kejadian tersebut sehingga sukar untuk menceritakan kembali kejadian yang berlaku.
Menurutnya, semasa kejadian dia serta dua rakannya baru siap makan di kantin dan dalam perjalanan ke tandas.
Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan denga bunyi gegaran yang sangat kuat dan kemudian muncul air yang deras.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, beberapa pelajar SMK Melor, Ketereh di sini cedera selepas tangki air di sekolah berkenaan pecah pada Selasa.
Kejadian itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik selepas selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara.
Mohd Radzi berkata, tangki air yang pecah itu menimpa laluan pejalan kaki di sekolah berkenaan menyebabkan pelajarnya mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!