Penganjur jamin himpunan ICERD tiada provokasi
SHAH ALAM - Jawatankuasa penganjur himpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), berjanji pastikan himpunan itu diadakan dengan baik dan selamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Pengarah himpunan, Kamaruzaman Mohamad berkata, untuk itu pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM
"Penganjur menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kedaulatan negara dan mendokong perlembagaan persekutuan untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD 8 Disember 2018, Sabtu ini, tanpa sebarang kerisauan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu jawatankuasa penganjur turut menzahirkan terima kasih kepada pihak DBKL dan PDRM susulan kebenaran yang diberikan untuk himpunan ini.
Sinar Harian semalam melaporkan kedua-dua pihak berkuasa itu bersetuju membenarkan himpunan pada Sabtu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM, hari ini.
Menurutnya, kebenaran itu diberikan atas keyakinan perhimpunan bakal diadakan secara aman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!