FBI serbu kediaman Trump

Sebuah kereta peronda polis dilihat di pintu masuk kediaman Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada Isnin. - Foto Agensi
Sebuah kereta peronda polis dilihat di pintu masuk kediaman Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada Isnin. - Foto Agensi
A
A
A

TALLAHASSEE - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah melakukan ‘serbuan’ ke atas kediaman peribadi miliknya, Mar-a-Lago di Florida.

Bilionair hartanah itu pada Isnin mendakwa ejen FBI bertindak memecah masuk estet tersebut yang terletak di Palm Beach ketika beliau berada di Menara Trump di New York.

“Mahligai indah saya dikepung, diserbu dan diceroboh sekumpulan besar ejen FBI.

“Ini adalah hari yang gelap kepada negara kita. Tidak pernah kejadian seperti ini berlaku kepada Presiden AS,” katanya yang turut menyelar operasi tersebut sebagai ‘salah laku pendakwaan’.

Media tempatan bagaimanapun mendakwa operasi dilancarkan FBI itu adalah sebahagian daripada siasatan Jabatan Kehakiman terhadap tindakan Trump yang ‘melarikan’ dokumen sulit kerajaan ketika meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021.

Perbuatan Trump terbongkar selepas Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara (NARA) mahu memindahkan rekod dari Rumah Putih ke Jawatankuasa Senat yang menyiasat insiden pencerobohan ganas di Capitol.

“Mereka mendapati kira-kira 15 kotak mengandungi dokumen tersebut dibawa ke Mar-a-Lago. Ia kemudiannya dikembalikan semula kepada NARA setelah rundingan bersama peguam Trump.

“Pihak itu bagaimanapun mendapati Trump telah mengambil sebahagian dokumen yang bertanda sulit dan sensitif berkaitan keselamatan negara,” kata Ketua Arkib, David Ferriero menerusi surat yang dihantar kepada Kongres.

Difahamkan, Jabatan Kehakiman telah mempertimbangkan prospek untuk membuka siasatan jenayah terhadap kes itu sejak April lalu.

Berita kediaman peribadi Trump, 76, digeledah pertama kali dilaporkan penerbit FloridaPolitics.com, Peter Schorsch.

Kisah sensasi melibatkan Presiden ke-45 AS itu sekali lagi mencuri perhatian selepas wartawan New York Times, Maggie Haberman mendedahkan gambar memaparkan beliau membuang nota tulisan tangan ke dalam mangkuk tandas yang didakwa melanggar protokol Rumah Putih. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!