Bilik sauna Suria KLCC musnah terbakar
KUALA LUMPUR - Pengunjung pusat beli belah Suria KLCC panik apabila diarah untuk mengosongkan premis berikutan kebakaran di bilik sauna di salah satu premis di sini, pada Selasa.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas satu klip video berdurasi tujuh saat memaparkan orang ramai berkumpul di luar pusat beli belah tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, dua jentera dan anggota dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah serta Balai Bomba Titiwangsa bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 petang.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran di dalam sebuah bilik sauna berukuran 2.13 x 3.65 meter persegi yang berada di aras G, Menara 3, Suria KLCC.
"Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya sembilan minit kemudian," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.
PGO Kuala Lumpur berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik.
"Kebakaran mengakibatkan kemusnahan premis sekitar 80 peratus bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!