Sukan Komanwel: KBS kenal pasti acara mengecewakan
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan secara menyeluruh dalam beberapa acara yang memberikan keputusan mengecewakan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, KBS telah mengenal pasti beberapa acara sukan itu dan perkara berkenaan sememangnya dipandang serius.
"Tindakan tuntas sedang dibuat demi mendapatkan hasil membanggakan di masa depan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Ahmad Faizal turut bersyukur atas aksi yang baik dipamerkan kontinjen negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Katanya, kejayaan mengutip keseluruhan tujuh pingat emas serta masing-masing lapan perak dan gangsa menepati sasaran yang diletakkan sebelum ini dan pencapaian itu adalah hasil daripada usaha para atlet dan barisan pegawai terlibat.
Beliau juga menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam temasya sukan berprestij itu termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Katanya, KBS turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas sokongan dan dorongan diberikan selama ini.
"Sokongan konsisten YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri akan terus menaikkan semangat atlet dan para pegawai untuk mencipta lebih kejayaan di masa depan," katanya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang senantiasa memberi sokongan dan doa kepada atlet dengan menyifatkan ia sebagai azimat paling penting dalam membakar semangat mereka untuk berjuang bermati-matian demi negara tercinta.
Pencapaian dilakar kontinjen negara di Birmingham menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran di tangga ke-10 secara keseluruhan dan menyamai rekod tujuh emas dicatatkan pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!