PKBM puji tindakan pantas MSN baiki permukaan trek BMX
TINDAKAN pantas Majlis Sukan Negara (MSN) segera memperbaiki keadaan permukaan trek Arena BMX Nasional yang dianggap uzur menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia BMX 2022 (ACC BMX 2022) menerima reaksi positif Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengaku resah memikirkan kondisi permukaan Arena BMX Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan yang dilihat tidak sesuai untuk penganjuran kejohanan bertaraf benua.
“Pada mesyuarat penyelarasan semalam dibangkitkan soal kondisi dan permukaan muka trek Arena BMX Nasional. Berdasarkan pemeriksaan beberapa pakar tempatan termasuk seorang komisar bertaraf antarabangsa, kami dapati permukaan sedia tidak sesuai untuk kejohanan bertaraf antarabangsa.
“Kali terakhir ia menjadi tuan rumah ialah ketika penganjuran Sukan SEA 2017 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia BMX 2018 (ACC BMX 2018). Selepas Covid-19 menjelma, Arena BMX Nasional tampak terbiar.
“Kerana itu, mesyuarat semalam sebulat suara memohon MSN. Siapa sangka MSN bertindak pantas mengarahkan kerja pembaikan trek Arena BMX Nasional dilakukan segera tanpa menerusi prosedur ketat.
“Terima kasih MSN. Tindakan pantas sangat penting demi menjaga imej Malaysia kerana UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) bila-bila masa sahaja akan menghantar delegasi teknikal (TD) bagi mengesahkan kondisi permukaan Arena BMX Nasional sama ada sesuai bagi kegunaan kejohanan bertaraf antarabangsa atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, PKBM menegaskan sudah memohon kepada UCI untuk menghantar seorang TD bagi mengesahkan kondisi permukaan Arena BMX Nasional menjelang penganjuran ACC BMX 2022 bermula 17 Ogos ini.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan kondisi terbaik sangat penting kerana kebanyakan negara khususnya Jepun dan Korea Selatan telah berjanji menghantar pelumba BMX terbaik untuk merebut semua mata kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris, Perancis.
“Kami risau mereka akan kecewa apabila melihat kondisi semasa Arena BMX Nasional. Jadi untuk mengelakkan berlakunya sebarang bantahan dan cemuhan daripada pasukan luar khususnya Jepun atau Korea Selatan, bantuan MSN sangat penting.
Abu Samah turut memuji sikap MSN yang sentiasa mengambil iktibar daripada isu keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikritik hebat oleh negara seperti Bahrain.
Dalam perkembangan lain, Abu Samah mengesahkan 8 negara telah mengesahkan penyertaan pada ACC BMX 2022 dengan Korea Selatan muncul negara terbaharu bersetuju menghantar bilangan kontinjen pelumba yang besar.
Negara yang telah mengesahkan penyertaan termasuk Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!