Kawal amarah sebelum membarah

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, suspek kes pengawal keselamatan yang dilibas pedang hingga maut dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Isnin atas tuduhan membunuh.
Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, suspek kes pengawal keselamatan yang dilibas pedang hingga maut dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Isnin atas tuduhan membunuh.
A
A
A

KEJADIAN seorang pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas beberapa hari dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani akibat cedera di kepala dan tangan kiri apabila dilibas dengan sebilah pedang seakan mengejutkan ramai pihak.

Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6 petang Ahad selepas dimasukkan ke hospital itu sejak Khamis.

Dalam kejadian pada jam 4.40 petang itu, Allahyarham cedera selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa.

Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang dilihat menunggang motosikal secara berbahaya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka. Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa.

Susulan kejadian itu suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada pagi Ahad atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.

Bagaimanapun, kematian mangsa pada petang Ahad akan menyebabkan kes berkenaan kemungkinan dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Inilah padah yang bakal diterima jika kita bertindak mengikut hawa nafsu amarah tanpa berfikir secara rasional.

Banyak lagi kes yang berlaku berpunca apabila tidak mampu mengawal kemarahan.

Sebagai contoh kejadian bunuh sepasang suami isteri di Taman Bercham Aman, Ipoh pada 7 Julai lalu juga dikaitkan dengan kemarahan.

Suspek yang juga adik kepada mangsa lelaki disyaki marah apabila ditegur kerana tidak bekerja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu berlaku pertengkaran antara suspek dan kakak ipar sebelum suspek bertindak menyerang mangsa dan memukul abangnya yang datang untuk membantu.

Katanya, suspek dikatakan sememangnya seorang panas baran dan cepat marah.

Belajarlah kawal emosi

Sebenarnya manusia dikurniakan dengan pelbagai nafsu termasuk marah tetapi tidak boleh dilayan atau dibiarkan berleluasa.

Ia sebaliknya perlu ditundukkan dengan sifat sabar kerana kemarahan antara senjata yang boleh menggugat keimanan.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, seorang lelaki berkata kepada Nabi Muhammad SAW: ‘Berilah nasihat kepada aku.

Lalu Nabi berkata, jangan marah.

Lelaki itu mengulangi pertanyaan berkali-kali dan Nabi SAW menjawab, jangan marah.’ (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW memberikan nasihat mengikut keadaan individu yang bertanya.

Dalam konteks hadis ini, mungkin individu yang bertanya itu adalah seorang yang panas baran.

Jadi, perkataan 'jangan marah' itu bukanlah bermaksud kita tidak boleh melayani perasaan marah tetapi sebaiknya kawallah ia supaya kita tidak melakukan tindakan di luar batasan.

Marah merupakan emosi biasa yang ada pada setiap manusia.

Namun, marah yang keterlaluan akan membawa banyak perkara negatif seperti menjejaskan imej sendiri dan hubungan kita dengan orang lain.

Menurut laporan Astro Awani, lima cara disenaraikan untuk manusia mengawal marah kerana senang dipraktikkan dan sesuai bagi sesiapa sahaja yang mudah naik marah.

Yang pertama kita perlu berfikir sebelum bercakap.

Setiap kali perasaan marah menyelubungi diri, tarik nafas.

Ambil masa untuk berfikir apa yang kita mahu luahkan kerana percakapan semasa marah kebiasaannya dipengaruhi emosi.

Yang kedua, luahkan selepas tenang iaitu apabila kita sudah tenang, luahkan kekecewaan dengan tegas tetapi tidak konfrontatif.

Nyatakan kerisauan dan keperluan dengan jelas dalam nada terkawal.

Kemudian, kenal pasti penyelesaian mudah.

Daripada memusatkan perhatian pada perkara yang membuat kita marah, sebaiknya berusaha menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Ingatkan diri kita bahawa kemarahan tidak akan memperbaiki apa-apa, sebaliknya mungkin hanya akan membuat keadaan lebih teruk.

Keempat, cuba rehatkan diri.

Cari aktiviti yang membuatkan kita tenang.

Kita boleh mendengar muzik, melukis atau melakukan senaman yoga.

Dan terakhir, jangan menyimpan dendam.

Percayalah, memberi kemaafan sangat berkesan untuk menenangkan diri.

Bukan itu sahaja, kemaafan juga membolehkan kita belajar sesuatu atau mengambil pengajaran daripada situasi tersebut.

Jelas sekali jika terlalu mengikut nafsu amarah, kita akan binasa tetapi sebaliknya, jika kita mampu mengawal kemarahan, kita boleh mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

Sebelum terlambat, kawallah amarah anda!

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!