DBKL laksana inisiatif kitar semula dapat ganjaran
Antara barang kitar semula yang boleh dibawa ke kiosk 1C1R yang beroperasi dua kali seminggu mengikut jadual yang telah ditetapkan itu ialah tin aluminium, kertas, plastik dan minyak masak terpakai.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kemudahan kios statik 1C1R yang kini diwujudkan di PPR Seri Alam di Pudu, PPR Beringin di Jinjang dan PA Seri Kota di Bandar Tun Razak adalah untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk setempat, selain mengurangkan penjanaan sisa pepejal di kawasan kepadatan tinggi.
Beliau berkata, penduduk setempat boleh mendapatkan ganjaran barangan keperluan asas seperti susu pekat, gula, tepung gandum dan minyak masak dengan mengumpul serta menukar mata ganjaran bagi setiap barang kitar semula yang dibawa ke kiosk berkenaan.
"Contohnya minyak masak terpakai lima kilogram, kita boleh dapat tiga botol minyak masak satu kilogram baharu sebagai tukaran dan ini satu usaha yang baik daripada kita buang begitu sahaja yang memberi kesan kepada alam sekitar.
"Usaha pemberian ganjaran ini juga dapat membantu meringankan beban perbelanjaan penduduk setempat terutama golongan B40 dari sekitar PPR dan PA ibu negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kios 1C1R di PA Seri Kota pada Selasa.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Berjaya Enviro Parks yang akan membantu dari segi pemberian ganjaran bagi program alam sekitar yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mengulas lanjut, Mahadi berkata DBKL akan memperluaskan kemudahan kiosk statik tersebut di kawasan PPR dan PA lain serta kawasan berkepadatan tinggi pada masa akan datang kerana kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kini hampir mencecah RM300 juta setahun dengan penjanaan sisa pepejal sebanyak 2,200 tan metrik sehari.
"Sekiranya ini dapat direalisasikan, trip sisa pepejal dari sekitar Kuala Lumpur yang dibawa ke tapak pelupusan di Bukit Tagar, Hulu Selangor dapat dikurangkan sekali gus bayaran DBKL kepada syarikat yang menguruskan sampah juga dapat dijimatkan,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!