Warga emas rentung, isteri melecur rumah terbakar
TANGKAK - [DIKEMAS KNI] Seorang lelaki warga emas rentung manakala isterinya cedera selepas rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut di sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 petang.
Susulan itu katanya, seramai 19 anggota dari BBP Tangkak dan BBP Muar dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Bagaimanapun, kebakaran melibatkan 30 peratus rumah separuh kekal itu berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
"Kebakaran itu menyebabkan mangsa, Ab Karim Md Aroff, 93, rentung manakala isterinya, Jibah Md Hussin, 87, cedera dan melecur. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya
Beliau berkata, operasi tamat jam 8.55 malam dan setakat ini jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!