Cadang RUU pekerja asing dibahas sidang Parlimen
KUANTAN - Usul khas Rang Undang-Undang (RUU) pekerja asing dicadangkan dibahas dalam sidang Parlimen.
Aktivis kemasyarakatan, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, ia bagi memastikan setiap pekerja asing yang datang ke negara ini sebagai buruh bukan mengawal ekonomi negara dengan menjalankan perniagaan sendiri.
"Kerajaan harus sedar, jika perkara ini tidak ditangani dengan betul mulai sekarang akan mengakibatkan pertumbuhan premis dan lesen perniagaan warga asing.
“Pada asalnya mereka datang ke Malaysia sebagai buruh, tetapi akhirnya jadi pengusaha restoran, kedai runcit, pasar raya, kontraktor dan sebagainya. Ia jelas telah mengganggu ekonomi rakyat tempatan," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Tambah Mohd Shukri, warga asing sepatutnya bekerja sebagai buruh dan tidak dibenarkan menjalankan apa jua bentuk perniagaan serta membuka premis perniagaan di negara ini tanpa sekatan.
“Mereka juga tidak dibenarkan memiliki apa juga lesen perniagaan, permit atau lain-lain berkaitan menggunakan nama rakyat tempatan yang dibayar imbuhan tertentu secara bulanan,” katanya.
Mohd Shukri juga meminta lPihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan berkaitan menyiasat aduan rakyat dengan telus jika melaporkan kegiatan perniagaan warga asing.
Katanya, terdapat perniagaan dijalankan warga asing menggunakan nama rakyat tempatan sama ada yang dikahwini atau dibayar upah oleh warga asing terbabit.
"Rakyat tempatan didapati bersekongkol, bekerjasama, membenarkan nama mereka digunakan oleh warga asing untuk membina perniagaan di negara ini harus didakwa dengan hukuman undang-undang berat.
"Perbuatan itu sudah cukup bahawa rakyat tempatan sanggup menjual maruah negara dan menyebabkan ekonomi dikawal oleh warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!