Tiada syarikat dikesan curi pokok bakau

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil : Ahmad Fadzil)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil : Ahmad Fadzil)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) tidak mengesan terdapat syarikat yang didakwa menjadi dalang mencuri pokok bakau untuk tujuan komersial di Selangor.

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kegiatan menebang dan mencuri pokok bakau secara haram itu dikesan dilakukan orang perseorangan.

Menurutnya, sehingga Jun lalu, 122 aktiviti rondaan serta pemantauan melibatkan Hutan Paya Laut dilakukan dan tiga individu ditahan atas kesalahan memiliki hasil hutan (anak benih bakau) secara menyalahi undang-undang.

"Dengan jadual operasi dan pemantauan secara berkala, kegiatan pengambilan hasil hutan (kayu bakau) secara menyalahi undang-undang berada dalam keadaan terkawal.

"Bagaimanapun, JPNS sentiasa bersiap siaga dengan menjalankan aktiviti pemantauan menggunakan imej satelit iaitu Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) dan e-Geospatial perhutanan yang mana aktiviti ini dapat memantau pembukaan kawasan hutan secara imej satelit sebelum semakan selanjutnya di lapangan," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, 26 Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah diwartakan di Selangor sebagai Hutan Paya Laut dengan keluasan 18,998 hektar.

"Berdasarkan rekod sejak 2021, terdapat beberapa kawasan 'hotspot' (kegiatan curi, tebang kayu bakau) di Hutan Simpan Banjar Utara, Hutan Simpan Telok Gedong, Hutan Simpan Pulau Ketam dan Tanah Kerajaan Mukim Klang.

"Operasi dan pemantauan di Hutan Paya Laut dilaksanakan secara kerap melibatkan penguatkuasaan perairan laut serta pesisiran pantai yang bertumpu di kawasan HSK dan tanah kerajaan," katanya.

Jelasnya, JPNS akan melaksanakan perolehan dua unit bot sebagai tambahan bot sedia ada pada tahun 2023 bagi rondaan penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti tersebut berleluasa.

"Selain itu, JPNS dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menaiktaraf Pengkalan Operasi Penguatkuasaan Hutan (POPH) Telok Gong, Pelabuhan Klang yang dijangka siap pada tahun 2024 bagi menyelaras dan memperkasa aktiviti penguatkuasaan hutan, khususnya melibatkan Hutan Paya Laut.

"Orang awam juga banyak membantu JPNS dari segi penyaluran maklumat. Selain itu juga, pelaksanaan program dan aktiviti seperti Program Penanaman Pokok Bakau serta program kesedaran awam dapat membantu meningkatkan terhadap pentingnya fungsi pokok bakau yang seharusnya dipelihara dan dipulihara," katanya.

Berdasarkan peruntukan subseksyen 15(2), Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, sesiapa yang melakukan suatu kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM100, 000 tetapi tidak melebihi RM1 juta dan dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun hingga dua puluh tahun.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Selangor memandang serius kegiatan haram menebang dan mencuri pelbagai spesies pokok bakau di kawasan pesisir pantai dan hutan paya di negeri tersebut bagi tujuan komersial.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, kegiatan itu dikesan didalangi pihak tertentu berikutan pokok bakau mendapat permintaan tinggi terutama dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!