Serena umum gantung raket

Serena mahu memberi lebih banyak masa dan menikmati kehidupan yang berharga bersama keluarga. - Foto Reuters
Serena mahu memberi lebih banyak masa dan menikmati kehidupan yang berharga bersama keluarga. - Foto Reuters
A
A
A

LEGENDA tenis dunia dari Amerika Syarikat (AS), Serena Williams meluahkan hasrat untuk menggantung raket setelah lebih dua dekad berkecimpung dalam sukan itu.

Mencecah usia 41 tahun Serena berkata, dia akan meninggalkan sukan tenis dan mahu bersara selepas tamat Terbuka AS bulan ini.

Serena yang hanya beraksi kali kedua acara perseorangan sejak Wimbledon pada Jun lalu menewaskan pemain Sepanyol, Nuria Parrizas Diaz untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Toronto awal pagi Rabu.

Bagaimanapun pemenang Grand Slam sebanyak 23 kali itu berkata, selepas tamat perlawanan dia mula memikirkan persaraan dan Terbuka AS mungkin menjadi kejohanan terakhirnya.

"Dalam kehidupan ada detik tertentu yang memerlukan kita bergerak ke arah berlainan.

"Detik itu selalunya sukar terutamanya membabitkan perkara yang anda sangat sukai. Saya sangat nikmati tenis," katanya di Instagram.

Menyifatkan keputusan itu adalah sesuatu yang sukar, Serena mahu memberi lebih banyak masa dan menikmati kehidupan yang berharga bersama keluarga.

"Detik itu sudah bermula. Saya perlu fokus menjadi ibu dan mempunyai lebih masa bersama keluarga, tetapi saya tetap Serena yang ceria. Saya akan menikmatinya beberapa minggu lagi," ujarnya.

Serena menang Grand Slam terakhir pada 2017 dan sejak itu memburu gelaran ke-24 yang bakal menjadikannya sebaris dengan legenda Margaret Court selaku pemenang terbanyak kejohanan utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!