Atasi Murray penghormatan buat Fritz
PILIHAN ke-10 dari Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz menyifatkan kemenangan 6-1, 6-3 ke atas bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray di pusingan pertama Kejohanan Tenis Terbuka Bank Nasional pada Rabu, merupakan kejayaan yang sungguh bermakna buat dirinya.
Menurut Fritiz, kemenangan ke atas Murray diharap dapat memberikannya semangat bagi mengharungi cabaran seterusnya pada kejohanan kali ini.
“Sebenarnya dapat beraksi berdepan Andy (Murray) merupakan satu penghormatan besar buat saya.
“Sejak saya mula melibatkan diri dengan dunia tenis profesional, dia (Murray), sentiasa ada di sekeliling dan mencatatkan beberapa kejayaan.
“Oleh itu, peluang beraksi bersamanya jelas merupakan penghormatan besar dan saya tidak akan melupakan perlawanan yang cukup istimewa ini,” katanya.
Kemenangan Fritz menyaksikannya bakal berdepan rakan senegara, Frances Tiafoe pada pusingan kedua nanti.
Sementara itu Fritz berkata, biarpun mencatatkan kemenangan ke atas Murray, dia sebenarnya berdepan tentangan sengit daripada pemain Great Britain itu terutamanya pada set kedua.
Katanya, Murray masih lagi memiliki sentuhan sebagai pemain handalan dunia dan sesiapa sahaja yang berdepan dengannya perlu memberikan aksi terbaik bagi menyainginya.
“Bagi saya, dia (Murray) masih lagi memiliki skil sebagai pemain tenis terbaik di dunia. Saya sungguh berbangga kerana berpeluang untuk bermain dengannya kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!