Sanchez pilih Marseille

Sanchez - Foto Reuters
Sanchez - Foto Reuters
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PEMAIN Chile, Alexis Sanchez membuat keputusan untuk meninggalkan Inter Milan dan menyertai Marseille bagi mengharungi saingan Ligue 1 musim ini.

Mengulas mengenai keputusannya itu, Sanchez berkata, dia mahu mencari pengalaman baharu bersama kelab baharu setelah 11 tahun beraksi bersama Inter Milan.

Malah katanya, sepanjang tempoh berkenaan, dia telah membantu kelab Nerazzurri itu merangkul tiga trofi kejayaan.

“Bagi saya, mungkin masanya sudah tiba untuk saya ‘beralih angin’ menyertai pasukan baharu musim ini setelah beraksi selama 11 tahun di Serie A.

“Saya memilih Marseille kerana mahu mencuba pengalaman baharu dalam saingan Ligue 1, yang dikatakan sebagai antara saingan liga yang mencabar, ” katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu bakal menandatangani kontrak di Stade Velodrome dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Sanchez pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka Eropah seperti Barcelona, Arsenal, Manchester United, Inter Milan dan kini bakal berkelana ke Marseille.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan rasmi, pihak Inter Milan turut menyatakan penghargaan kepada Sanchez atas segala jasanya kepada kelab berkenaan selama ini.

Menurut kenyataan itu, segala jasa Sanchez di Inter Milan juga akan terus dikenang dan dijadikan pembakar semangat kepada pemain-pemain baharu untuk turut sama mencipta kejayaan kelak.

“Kita tidak dapat menahan Sanchez untuk menyertai kelab lain kerana ia sememangnya menjadi hak kepadanya untuk memilih kelab yang bakal diwakili.

“Apa pun, kami di Inter Milan sentiasa mendoakan kejayaannya pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!