Hanya satu pusat amalan tarekat tutup di Negeri Sembilan
SEREMBAN- Sebanyak 18 buah tarekat setakat ini berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 yang dikawal selia oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (JMKNNS).
Pengerusi Gabungan Tareqat Berdaftar Negeri Sembilan (G-Tariq), Dr Muhammad Firdaus Abdul Manaf berkata, bagaimanapun hanya satu Pusat Pengamalan Tarekat iaitu Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad yang beroperasi di Jalan Labu, Batu 8, Kampung Jawa, ditutup.
"Kami mengambil maklum dengan kenyataan media JMKNNS bertarikh 4 Ogos lepas dan menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tindakan selanjutnya.
"Ini selaras dengan peruntukan subseksyen 18(1), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, baki 17 buah tarekat lain masih beroperasi seperti biasa, diiktiraf oleh JMKNNS, Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan dan Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan.
"Ini selaras dengan peruntukan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
"Penutupan bukan bermaksud pembatalan pendaftaran tarekat ini serta-merta, tetapi bagi memastikan siasatan lanjut dilakukan dengan teliti, adil dan berhemah mengikut prosedur serta lunas undang-undang diperuntukkan.
"Ia sekali gus menunjukkan tindakan kawal selia tarekat yang proaktif dilakukan oleh pihak JMKNNS melalui Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini, benar-benar berfungsi dengan baik dan berintegriti," katanya.
Muhammad Firdaus berkata, semua pihak diminta bertenang serta tidak menjadikan isu itu polemik yang akhirnya mengundang perdebatan dan ketidakharmonian dalam masyarakat.
"Kita perlu merujuk kepada pihak autoriti agama apabila berhadapan dengan sebarang konflik dan kontroversi. Semua pihak seharusnya memahami bidang kuasa masing-masing tanpa menceroboh bidang kuasa pihak lain," katanya.
Sinar Harian pada 4 Ogos lalu melaporkan, sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Labu di sini diarahkan tutup susulan terdapat aduan mengenai perbuatan atau perkara bercanggah dengan hukum syarak.
Perkara itu dimaklumkan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataannya yang turut menjelaskan, penutupan pusat itu dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan sama ada membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!