Ponteng solat Jumaat, sembilan lelaki akan didakwa

Antara individu yang ditahan dalam operasi yang dijalankan pada Jumaat lalu. - Foto: Ihsan JHEAT
Antara individu yang ditahan dalam operasi yang dijalankan pada Jumaat lalu. - Foto: Ihsan JHEAT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sembilan lelaki berdepan dakwaan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (pindaan 2016) kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, kesemua individu itu ditahan sepanjang tempoh penguatkuasaan yang dijalankan sejak Julai lalu.

"Seramai 11 individu telah ditahan sepanjang operasi itu. Daripada jumlah tersebut, dua individu diberikan kaunseling selebihnya berdepan pendakwaan di Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Terengganu.

"Mereka yang terlibat terdiri daripada belia dan dewasa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, bagi kesalahan itu, individu terbabit boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terbaharu, katanya, seramai empat lelaki ditahan di Taman Awam Lagun, Kuala Ibai, di sini selepas didapati tidak menunaikan solat Jumaat pada minggu lalu.

Katanya, empat lelaki terdiri dua remaja berusia 14 hingga 16 tahun manakala dua lagi berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dikesan melakukan kesalahan itu antara jam 1.30 hingga 2 petang.

"Sebelum ditahan, anggota penguat kuasa wanita dari bahagian penguatkuasaan JHEAT telah menjalankan risikan dan berada di lokasi berkenaan sejak jam 12.30 tengah hari.

"Sehingga habis waktu solat, individu itu masih lagi berada di lokasi sama dan tindakan telah diambil ke atas mereka. Dua remaja berkenaan akan dipanggil bagi sesi kaunseling manakala dua lagi berdepan proses pendakwaan," katanya.

Sementara itu, Md Adnan menegaskan, masyarakat Islam khususnya lelaki Muslim diingatkan agar tidak culas menunaikan ibadah solat Jumaat.

"Solat Jumaat merupakan kewajipan bagi setiap Muslim yang tidak mengalami sebarang keuzuran.

"Oleh itu, kita akan sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi memastikan seluruh umat Islam di negeri ini tidak culas dalam melaksanakan ibadah itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!