Waris pendeposit Simpan SSPN Prime terima manfaat takaful
BAGAN SERAI - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat takaful kepada waris pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime yang meninggal dunia menerusi program Ziarah PTPTN Prihatin baru-baru ini.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, Nor Azira Mohamed, 41, yang bekerja sebagai penyelia stor telah membuka akaun untuk masa depan tiga anaknya, namun disahkan meninggal dunia tahun lalu akibat wabak Covid-19.
"Ketika meninggal dunia pada September 2021, dia mempunyai simpanan yang melayakkannya menerima manfaat perlindungan takaful bersamaan dengan jumlah simpanan serta khairat kematian sebanyak RM2,000.
"Inilah keistimewaan Simpan SSPN Prime yang memberi manfaat perlindungan takaful percuma kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka," kata kenyataan itu pada Rabu.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Dewan Undangan Selinsing, Mohamed Noor Dawoo menyerahkan manfaat takaful kepada waris Nor Azira, Nur Adriana Aleeya Zulkifli yang kini tinggal bersama neneknya di Semanggol pada 30 Julai lalu.
Hadir sama, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Besar PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed.
Menurut kenyataan itu, sejumlah 2,303 tuntutan telah dibayar dengan jumlah manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian percuma sebanyak RM27.19 juta sehingga 30 Jun lalu.
"Nilai ini sememangnya tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, namun simpanan dalam Simpan SSPN Prime dan nilai manfaat yang diterima ini dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.
"Allahyarham Nor Azira telah membuat pilihan tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anak-anak melalui Simpan SSPN Prime bagi memastikan pendidikan mereka terus terjamin," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, PTPTN telah membantu masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan seawal usia anak-anak melalui Simpan SSPN Prime.
"Simpan SSPN Prime turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat lain kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga, patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.
"Secara keseluruhan sehingga 30 Jun 2022, sebanyak 5.4 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka dengan deposit simpanan berjumlah RM12.5 bilion," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!