Isu LCS bakal dibahas di Dewan Negara

Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip
Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Negara meluluskan usul agar isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibahaskan sebelum persidangan berakhir Selasa depan.

Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip berkata, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri akan tampil menjawab semua soalan yang dibangkitkan.

"Cadangan (usul) ini telah diluluskan oleh Yang Di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan akan dibahaskan pada persidangan sebelum sidang Dewan Negara berakhir pada hari Selasa 16 Ogos 2022.

"Sesi perbahasan ini akan menjadi pentas terbaik bagi kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan, melalui menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tampil menjawab semua perkara berbangkit.

"Ini kerana beliau telah dua kali memikul tanggungjawab sebagai menteri pertahanan, ketika kontrak LCS ditandatangani pada 2014 dan sekarang," katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu.

Pada Selasa, tiga Ahli Dewan Negara mencadangkan supaya isu berhubung LCS dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan.

Cadangan itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying, Senator Fadhlina Sidek dan Datuk A. Kesavadas Nair yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu, Muhammad Zahid memberi jaminan Hishammuddin akan hadir bagi sesi perbahasan berkenaan sekaligus menafikan desas desus kemungkinan Ahli Parlimen Sembrong tidak akan hadir.

"Saya ingin menegaskan bahawa sebagai rakannya, saya memberi jaminan terhadap khabar angin dan cakap-cakap tidak bertanggungjawab bahawa beliau akan hadir dan menjawab semua soalan.

"Beliau sendiri dan sekiranya ada urusan untuk melawat ke luar negara, saya pasti beliau akan menangguhkan lawatan tersebut dan tarikh tersebut akan ditukar ke tarikh lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!