Caj RM150 sertai parti liar

Imigresen menyerbu parti liar yang dijalankan di sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Imigresen menyerbu parti liar yang dijalankan di sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia menahan seramai 25 individu dalam sebuah 'private party' yang dihadiri pengunjung warga Afrika di sebuah premis di Bukti Bintang, di sini pada Sabtu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan pihaknya mendapati parti liar tersebut dianjurkan warga tempatan dengan kehadiran pengunjung warga asing dan majoritinya dari benua Afrika melibatkan bayaran RM150 secara dalam talian.

Menurutnya, lokasi parti turut dimaklumkan pada hari terakhir bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Serbuan dilakukan turut berdepan provokasi selain cubaan warga asing yang melarikan diri melalui pintu belakang premis.

“Parti itu didapati menghidangkan minuman keras dan persembahan yang menjolok mata.

"Rata-rata artis yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing serta ramai dalam kalangan mereka memegang pas pelajar asing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam operasi berlainan, imigresen telah menggempur penempatan warga asing di Brickfields yang didiami kebanyakan dari warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal.

Katanya, seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan di penempatan kontena tiga tingkat tersebut.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah,” ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!