Tambah lebih 300 anggota Pasukan MUST bomba

Baris kedua, tujuh dari kiri; Abdul Wahab, Chee Heng dan Norazam bersama Pasukan MUST selepas Majlis Pentauliahan Pasukan MUST JBPM di Pantai Aceh, Pulau Indah, pada Rabu.
Baris kedua, tujuh dari kiri; Abdul Wahab, Chee Heng dan Norazam bersama Pasukan MUST selepas Majlis Pentauliahan Pasukan MUST JBPM di Pantai Aceh, Pulau Indah, pada Rabu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menambah lebih 300 anggota dalam Pasukan Multi Skill (MUST) dalam membantu operasi menyelamat di negara ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, ketika ini terdapat seramai 516 anggota dalam MUST di seluruh negara.

Menurutnya, lapan siri kursus Pasukan MUST akan diadakan selama 21 hari di beberapa negeri, termasuk di Selangor yang baru selesai pada Rabu.

"JBPM merancang untuk mengadakan tujuh siri kursus bagi tahun ini selepas Selangor iaitu di JBPM Perak, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Pada September ini, kita akan adakan di JBPM Perak," katanya selepas menyempurnakan majlis pentauliahan kepada 46 anggota Pasukan MUST JBPM di Pantai Aceh, Pulau Indah di sini pada Rabu.

Ujarnya, Pasukan MUST yang diwujudkan sejak tahun 1998 perlu melengkapkan tugasan seperti penyediaan lokasi pendaratan bagi tujuan operasi menyelamat, selain menyelamatkan mangsa yang berada dalam air atau hutan.

Tambah Abdul Wahab, anggota didedahkan dengan pelbagai ilmu ikhtiar hidup sebagai persiapan untuk melakukan pelbagai jenis tugasan, khususnya membantu Unit Udara JBPM untuk misi menyelamat.

"Mereka juga didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk ikhtiar hidup dalam hutan. Malah, anggota juga tidak dibekalkan dengan sebarang makanan sepanjang 21 hari dan berjaya bertahan dengan cara memakan apa sahaja di sekitar kawasan mereka.

"Saya percaya dengan pendedahan dan pengalaman daripada pelbagai aspek baik di udara, darat dan air melalui kursus ini, diharap anggota dapat melaksanakan tugas dalam pelbagai situasi kerana Pasukan MUST ini akan membantu Unit Udara JBPM khususnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 57, atau 'Uncle Kentang' turut menyumbangkan beberapa jenis aset kepada JBPM bagi membantu agensi tersebut dalam operasi menyelamat.

Sumbangan tersebut berupa lima bot pelampung, lima unit kamera badan dan dua unit motosikal 'off-road'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!