Ainul Mardhiah 'ditidurkan' semula

Tangkap layar status dimuat naik oleh Ahmad Safiuddin di laman Facebooknya mengenai keadaan terkini Ainul Mardhiah. - Foto Facebook Ahmad Safiuddin
Tangkap layar status dimuat naik oleh Ahmad Safiuddin di laman Facebooknya mengenai keadaan terkini Ainul Mardhiah. - Foto Facebook Ahmad Safiuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, kini sedang dirawat menggunakan alat ventilator dan ditidurkan semula selepas diserang sawan berulang kali sejak Isnin.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, prosedur tersebut bertujuan untuk mengawal sawan serta merehatkan anak perempuannya itu.

“Hari ini Ainul ‘diventilate’ lagi dan ditidurkan bertujuan untuk kawal sawan dan rehatkan otaknya.

“Ainul kelihatan penat sangat selepas diserang sawan panas banyak kali. Hari ini, biarlah dia berehat.

“Saya doa semoga Allah SWT bukakan jalan dan bimbing doktor cari punca masalahnya,” katanya menerusi akaun Facebooknya pada Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan Ainul Mardhiah sedang ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman sejak Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin turut memuji barisan doktor dan jururawat yang berusaha memberi rawatan terbaik terhadap Ainul Mardhiah.

“Doktor semua sedang berusaha keras mencari jalan rawatan yang terbaik, saya saksikannya. Kakak-kakak misi (jururawat) pun semua jaga Ainul dengan baik,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia turut menggantungkan segala pengharapan hanya kepada Allah SWT atas kesembuhan Ainul Mardhiah.

“Kita usaha, kita doa dan akhir sekali, kita kena sedar bahawa Allah SWT jua lah pemilik segala kesembuhan dan kesihatan.

“DIA kalau nak bagi, tidak ada satu tangan pun boleh halang. Begitu juga jika DIA nak tarik nikmat nikmat yang ada dalam hidup kita hari ini,” katanya.

Justeru, Ahmad Safiuddin berkata, dia redha dan tidak akan pernah berputus asa untuk berdoa untuk kesembuhan anaknya.

“Saya redha dan saya dah halalkan anak saya namun tidak akan berputus asa.

“Saya tak akan berhenti berdoa. Apa yang bakal berlaku, saya percaya itulah yang terbaik daripada-Nya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!