Fokus pembangunan di Tasik Kenyir

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri diminta untuk melakukan pembangunan berfokus di Tasik Kenyir agar dapat menarik lebih ramai pelancong, sekali gus meningkatkan nilai sektor pelancongan Terengganu.

ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Tasik Kenyir mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga mampu menarik 817,000 pelancong pada tahun 2017.

Menurutnya, berbanding dengan pulau peranginan popular seperti Pulau Perhentian yang mencatatkan jumlah pelancong seramai 200,000 orang dan Pulau Redang seramai 250,00 orang, tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara mempunyai tarikannya yang tersendiri.

“Walaupun satu ketika dahulu saya diperkecilkan, ada yang kata siapa yang nak pergi ke tempat ‘jin bertendang’ tapi sekarang ini sudah terbukti, kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir seramai 817,000 orang. Angka 2018 belum keluar dan dijangkakan sekurang-kurangnya boleh capai 1 juta pelancong untuk tahun ini.

“Hampir 100 ‘house boat’ ada di Tasik Kenyir tapi masih tak cukup, itu belum siap lagi kawasan bebas cukai, ‘premium outlet’, kemudahan hotel dan lain-lain lagi. Sebab itu, kita kena fokuskan pembangunan di Tasik Kenyir.

“Saya harapkan kerajaan negeri mengambil serius pembangunan Tasir Kenyir kerana Terengganu tidak boleh lari dengan pelancongan sebagai agenda utamanya dan kita harap, kita berfokus,” katanya sewaktu sesi perbahasan pada Sidang DUN Ke-14 di sini, hari ini.

Jelas beliau, ada 3 parameter yang sepatutnya diikuti kerajaan negeri, iaitu meningkatkan kedatangan pelancong, meningkatkan tempoh tinggal pelancong dan meningkatkan perbelanjaan pelancong di Terengganu.

“Ketiga-tiga ini boleh dilaksanakan kalau kita bangunkan Tasik Kenyir kerana dahulu kita merancang untuk membina kira-kira 30 unit kedai atau premium outlet di situ sebagai permulaan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau dilaksanakan, pelancong boleh tinggal sekurang-kurangnya 2 malam di Tasik Kenyir dan mereka boleh membeli belah dan membeli dengan harga murah, berbanding tempat lain. Pelannya telah siap, tinggal lagi hanya untuk dilaksanakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!