Lantikan dua pemimpin UMNO dalam Suhakam tiada kaitan politik
KUALA LUMPUR - Lantikan dua orang pemimpin UMNO sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baharu tiada kaitan dengan politik.
Pesuruhjaya Suhakam, Ragunath Kesavan berkata, tiada isu mana-mana pihak yang berkhidmat dalam parti politik dilarang terlibat dalam urusan dan kerja-kerja hak asasi manusia.
“Tidak seperti akta profesion guaman untuk Majlis Peguam yang amat jelas. Berbanding Akta Suhakam, tiada sekatan sedemikian.
“Saya mengenali mereka berdua selama bertahun-tahun dan mereka adalah peguam yang baik serta sentiasa menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa memperkenalkan pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam baharu di sini pada Rabu.
Hadir sama Pengerusi Suhakam baharu, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad.
Sebelum ini, beberapa pihak mengkritik barisan baharu Suhakam antaranya seperti Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempersoalkan pelantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Ketua Wanita UMNO Kulim Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim.
Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, pelantikan pemimpin UMNO sebagai anggota pesuruhjaya Suhakam yang baharu bagi sesi 2022 hingga 2025 sebagai pelantikan tanpa merit.
Tambah Ragunath, pihaknya turut melihat pelantikan Hasnal dan Nazira sebagai sesuatu yang positif.
“Ia merupakan sesuatu yang positif kerana kita mempunyai kumpulan yang pelbagai dalam suruhanjaya.
“Ia juga membantu kita dalam kerja-kerja melibatkan akar umbi serta mungkin memudahkan akses kita terhadap kerajaan dan agensinya,” katanya.
Dalam pada itu, Ragunath turut diminta mengulas mengenai pelantikan Rahmat sebagai Pengerusi Suhakam yang pernah memberikan nasihat kepada Majlis Raja-Raja bagi menolak Statut Rom.
Menurutnya, apa-apa perkara yang dilakukan oleh Rahmat sebelum ini adalah atas kapasitinya sebagai pensyarah undang-undang.
“Saya rasa patut menilai apa yang kita lakukan di Suhakam, tidak melihat apa yang berlaku pada masa lalu,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!