Lesen khas untuk p-hailing: Ka Siong

Satu lesen vokasional khas dicadangkan untuk diperkenalkan kepada penunggang perkhidmatan p-hailing selepas MOT diberi mandat untuk mengawal selia sektor tersebut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ka Siong)
Satu lesen vokasional khas dicadangkan untuk diperkenalkan kepada penunggang perkhidmatan p-hailing selepas MOT diberi mandat untuk mengawal selia sektor tersebut. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ka Siong)
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu lesen vokasional khas dicadangkan untuk diperkenalkan kepada penunggang perkhidmatan p-hailing selepas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) diberi mandat untuk mengawal selia sektor tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan, cadangan lesen tersebut tidak sama seperti lesen memandu vokasional (GDL) yang dikenakan terhadap kenderaan empat roda.

"Tujuan lesen ini diperkenalkan adalah untuk mendaftarkan penunggang p-hailing secara rasmi," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Rabu.

Menurutnya, pendaftaran bagi lesen khas itu dijamin mudah dan murah dengan bayaran minimum di bawah RM10 selain diberi moratorium.

"Dengan cara ini, kerajaan akan dapat semua data (iaitu) siapa merupakan penunggang p-hailing," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mendapatkan lesen khas bagi p-hailing tidak diperlukan.

"Tidak pernah kita sebut atau minta mereka ke Puspakom untuk buat bayaran dan periksa motosikal," katanya.

Ka Siong berkata, penunggang p-hailing juga tidak perlu hadir ke institut memandu (IM) sebaliknya hanya perlu menghadiri kursus induksi minimum sekitar tiga jam.

"Selaku Menteri Pengangkutan, saya bimbang dengan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di 11 jalan raya di Kuala Lumpur yang mendapati 62 peratus penunggang p-hailing berhenti di petak kuning dan lintasan pejalan kaki, 14 peratus memegang telefon bimbit serta langgar lampu isyarat, tujuh peratus lagi membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan.

"Sebab itulah perlunya satu kaedah untuk terima penunggang p-hailing sebagai ahli," katanya.

Ujarnya, hasrat kerajaan adalah untuk membantu golongan itu dan bukannya untuk menyusahkan mereka.

"Saya tengok TikTok kata kita nak susahkan rakyat. Tidak. Dengan cara ini barulah kita dapat kawal selia," katanya.

Memberi contoh sekiranya kerajaan ingin memberi bantuan kepada penunggang p-hailing data tersebut memudahkan MOT.

"Kalau kerajaan nak bagi bantuan selepas ini, mana saya nak dapat data? Kalau kita bersandarkan kepada pengendali p-hailing (PHO), mereka tidak semestinya boleh bagi senarai lengkap.

"Apabila ada pendaftaran ini, sudah tentu dengan satu butang, kita boleh tahu berapa ramai yang terlibat dan bagaimana kerajaan boleh bantu mereka," katanya.

Ditanya mengenai nama untuk lesen khas tersebut, Ka Siong berkata, ia akan ditentukan kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!