Shafee pertahan bukan sengaja lambatkan perbicaraan
KUALA LUMPUR – Peguambela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan pihaknya tidak berhasrat melambat-lambatkan prosiding perbicaraan kes tujuh pertuduhan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, Shafee berkata, pasukannya hanya melakukan perkara lazim yang akan dilakukan mana-mana peguam sekiranya pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam mereka mempunyai kecacatan. "Pertama sekali, tiada cubaan melengah-lengahkan perbicaraan, apa yang kami lakukan adalah tindakan dilakukan apabila kamu didakwa dengan pendakwaan yang cacat.
"Pendakwaan mempunyai kecacatan dan kami bangkitkannya untuk menyatakan semua kes sehingga ke Mahkamah Persekutuan, kes di Malaysia atau kes di United Kingdom, jika kamu membuat sebarang bantahan terhadap pertuduhan, bantahan harus dibuat sebelum perbicaraan bermula, jadi hari ini (semalam) adalah hari sebelum perbicaraan bermula,” katanya ketika sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Selain itu, Shafee dan pasukannya berpendapat ucapan pembukaan pasukan pendakwaraya oleh Peguam Negara, Tommy Thomas lebih menjurus kepada ucapan politik dan bersifat khabar angin.
"Kami juga membangkitkan berkenaan ucapan Peguam Negara, jika kita teliti ia tidak mempunyai apa-apa selain pendakwaan, rumit dan tidak masuk akal seperti juga pertuduhan.
"Kami juga bangkitkan ucapan pembukaan tidak memberi pencerahan kepada mahkamah dan kami, malah tidak mematuhi prosedur di bawah Seksyen 179 Kanun Prosedur Jenayah, lebih kepada ucapan politik," kritik Shafee.
Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015 Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia keenam, adalah perdana menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!